Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

5 Perkara Yang Boleh Buat Ruang Makan Nampak Kurang Menarik

RUANG
Kredit: Pashouse

Ruang makan bukan sekadar tempat untuk menikmati hidangan bersama keluarga, malah menjadi ruang untuk berkumpul dan meluangkan masa bersama insan tersayang.

Namun, pemilihan perabot dan hiasan yang kurang sesuai boleh menyebabkan ruang makan kelihatan hambar, kurang selesa atau tidak praktikal untuk kegunaan harian.

Menurut perkongsian pereka dalaman yang dipetik oleh The Spruce, terdapat beberapa kesilapan dalam menghias ruang makan yang sering dilakukan tanpa disedari.

Berikut lima perkara yang boleh diberikan perhatian bagi menjadikan ruang makan lebih menarik dan selesa.

1. Memilih Perabot Yang Terlalu Sedondon

Set meja makan, kerusi, kabinet pinggan mangkuk dan bufet yang semuanya mempunyai reka bentuk sama mungkin kelihatan kemas, tetapi boleh menyebabkan ruang makan tampak terlalu seragam dan kurang menyerlah.

Sebaliknya, cuba gabungkan perabot daripada bahan, tekstur dan warna berbeza untuk menghasilkan suasana yang lebih menarik.

Pereka dalaman Tehilla Bennett mencadangkan gabungan meja kayu atau logam dengan kerusi berkusyen bagi memberikan lebih karakter kepada ruang tersebut.

Pemilik rumah juga boleh memilih kerusi di hujung meja dengan gaya atau fabrik berbeza untuk mewujudkan sedikit kelainan.

Bufet dengan tona kayu atau reka bentuk berbeza turut boleh melengkapkan ruang tanpa menjadikannya kelihatan tidak sepadan.

Kredit: indosteger

2. Memilih Lampu Yang Tidak Sesuai

Lampu memainkan peranan penting dalam menentukan suasana ruang makan. Namun, penggunaan lampu yang terlalu kecil, terlalu biasa atau tidak sesuai dengan saiz ruang boleh menjejaskan keseimbangan keseluruhan hiasan.

Bagi mengatasinya, pilih lampu gantung yang sepadan dengan saiz meja makan dan konsep ruang.

Menurut Bennett, lampu gantung yang menonjol boleh membantu menjadikan meja makan sebagai tumpuan utama.

Untuk meja yang panjang, beberapa lampu gantung bersaiz kecil boleh dipasang secara tersusun bagi memastikan pencahayaan lebih seimbang.

Pada masa sama, pereka dalaman Rachel Blindauer mengingatkan bahawa lampu yang terlalu sarat dengan perincian atau mempunyai gaya lama juga boleh menyebabkan ruang makan kelihatan ketinggalan zaman.

Oleh itu, pilih reka bentuk lampu yang menarik tetapi tidak terlalu mendominasi ruang.

3. Menggunakan Pencahayaan Terlalu Terang

Selain reka bentuk lampu, tahap pencahayaan juga perlu diberikan perhatian.

Lampu putih yang terlalu terang boleh menyebabkan ruang makan terasa dingin dan kurang mesra, sedangkan ruang ini sepatutnya memberikan suasana selesa ketika keluarga menikmati hidangan bersama.

Pereka dalaman Melanie Bryant berpendapat bahawa pencahayaan yang terlalu terang tanpa kawalan tahap cahaya boleh membuatkan seseorang berasa tidak selesa ketika makan.

Sebagai alternatif, gunakan pencahayaan lembut dengan menggabungkan beberapa sumber cahaya.

Mentol dengan cahaya putih lembut dan suis pelaras kecerahan juga boleh membantu pemilik rumah menyesuaikan suasana mengikut keperluan, sama ada ketika makan bersama keluarga atau menerima tetamu.

4. Menghias Satu Bahagian Dinding Tanpa Konsep Yang Jelas

Dinding aksen boleh memberikan warna, tekstur dan karakter kepada ruang makan. Namun, pemilihan warna yang terlalu berbeza atau pemasangan panel dinding tanpa mengambil kira keseluruhan konsep boleh menyebabkan ruang kelihatan tidak serasi.

Bagi mengelakkan masalah ini, pastikan hiasan dinding selari dengan warna, bahan dan gaya perabot di sekelilingnya.

Bennett mencadangkan pendekatan yang lebih menyeluruh, seperti menggunakan kertas dinding atau panel pada keseluruhan ruang bagi menghasilkan penampilan yang lebih harmoni.

Jika memilih satu dinding sebagai tumpuan, pastikan elemen lain tidak terlalu bersaing sehingga ruang kelihatan sarat.

Dinding aksen juga perlu dirancang mengikut saiz ruang supaya tidak menjadikan kawasan makan terasa sempit atau terlalu padat.

Kredit: Demix

5. Memilih Permaidani Yang Terlalu Kecil

Permaidani boleh membantu melengkapkan hiasan ruang makan, tetapi saiz yang tidak sesuai boleh menjejaskan penampilan dan keselesaan.

Permaidani yang terlalu kecil menyebabkan meja makan kelihatan tidak seimbang dengan ruang sekeliling. Malah, kaki kerusi yang tersangkut pada bahagian tepi permaidani ketika ditarik keluar boleh meningkatkan risiko tersadung.

Menurut Bryant, keadaan itu bukan sahaja mengganggu keselesaan, malah boleh menyebabkan pinggan dan makanan terjatuh ketika seseorang sedang makan.

Sebagai panduan, pilih permaidani yang cukup besar untuk menampung meja makan serta menyediakan ruang sekurang kurangnya 24 inci atau kira kira 61 sentimeter pada setiap sisi.

Ruang tambahan ini membolehkan kerusi ditarik keluar tanpa kaki kerusi tersangkut pada tepi permaidani.

Permaidani dengan bulu pendek juga lebih sesuai kerana lebih mudah dibersihkan dan mengurangkan risiko tersadung.

Kesimpulannya, menghias ruang makan bukan sekadar memilih perabot yang cantik atau mengikut trend semasa. Saiz perabot, pencahayaan, keserasian warna dan fungsi setiap elemen perlu dipertimbangkan supaya ruang tersebut selesa digunakan setiap hari.

Dengan mengelakkan kesilapan ini, pemilik rumah boleh mewujudkan ruang makan yang lebih menarik, praktikal dan sesuai untuk menikmati masa bersama keluarga.

Intipati
  • Perabot terlalu sedondon boleh menjadikan ruang makan kelihatan seragam dan kurang menyerlah.
  • Lampu tidak sesuai atau terlalu terang boleh menjejaskan suasana selesa ruang makan.
  • Dinding aksen tanpa konsep dan permaidani kecil boleh mengganggu keserasian serta keselesaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan