Bila sesuatu jenama itu sudah biasa dilihat di kedai atau digunakan setiap hari, mudah untuk kita menyangka ia berasal dari negara sendiri.
Lebih-lebih lagi jika jenama tersebut sudah lama bertapak dan menjadi pilihan ramai pengguna tempatan.
Disebabkan ia popular, produk ini berjaya menembusi pasaran luar negara sehingga ramai rakyat tempatan tidak menyedari ia adalah produk asing.
Ingatkan Indonesia, Rupanya Produk Malaysia
Menerusi perkongsian akaun media sosial Indonesia, Jembar Digital, lima jenama berikut disenaraikan sebagai antara jenama Malaysia yang disangka milik Indonesia.
1. Maybank

Kalau di Malaysia, logo harimau Maybank memang sudah tidak asing lagi.
Namun, bank ini turut mempunyai berkembang 'hadir' di Indonesia menerusi Bank Maybank Indonesia.
Sebelum menggunakan nama tersebut, ia dikenali sebagai Bank Internasional Indonesia dan kemudian menjadi sebahagian daripada Kumpulan Malayan Banking Berhad.
Disebabkan sudah lama menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan di sana, mungkin ada yang tidak menyedari kaitannya dengan Malaysia.
Pada tahun 2023, Maybank memiliki 337 cawangan di seluruh Indonesia, termasuk cawangan Syariah.
2. Pasar Raya Giant

Sebut sahaja Giant, tentu anak-anak zaman 90-an sangat sinonim dengan pusat beli-belah ini.
Lebih-lebih lagi mengenangkan kembali pengalaman menemani ibu bapa membeli barang dapur suatu ketika dahulu.
Jenama pasar raya ini mempunyai sejarah yang bermula di Malaysia pada tahun 1944, sebelum berkembang dan membuka cawangan di luar negara.
Di Indonesia, Giant juga pernah menjadi antara tempat orang ramai membeli barangan keperluan harian.
Walaupun operasi Giant di negara itu telah ditamatkan, namanya masih meninggalkan kenangan buat pelanggan yang pernah membeli-belah di sana.
Namun, akibat persaingan yang sengit, Giant tidak lagi beroperasi di sana dan kini dikenali sebagai GCH Retail Sdn Bhd.
3. Fipper

Jenama selipar Fipper sering menimbulkan kekeliruan mengenai asal usulnya kerana terdapat kedai-kedai Fipper di pelbagai lokasi termasuk di Indonesia.
“Mungkin ramai yang menyangka ia dari Thailand. Sandal Fipper terkenal dengan keselesaan dan reka bentuk yang ringkas namun menarik. Sandal ini banyak dijual di pusat beli-belah dan pasar tradisional di Indonesia,” tulis Jembar Digital.
Menurut Fipper, syarikat ini pertama kali ditubuhkan pada tahun 2008 sebagai sebuah kedai kecil yang dijalankan secara fizikal di Sungai Wang, Kuala Lumpur (tiada atas talian).
Bagaimanapun, ia semakin berkembang menjadi sebuah jenama kasut terkemuka selepas menarik minat orang ramai.
Kepelbagaian warna dan keselesaan berjaya menarik minat ramai pengguna hingga ke peringkat global.
Pada 2010, Fipper secara rasmi telah dikomersialkan di luar negara seperti Vietnam, Indonesia, Kemboja, Brunei, Mauritius, Korea Selatan dan Singapura.
Sehingga kini, ia menjadi salah satu jenama kasut paling berjaya di Malaysia.
4. Mister Potato

Bagi penggemar snek, Mister Potato tentu antara nama yang cukup familiar.
Namun, di sebalik namanya yang kedengaran antarabangsa, jenama kerepek kentang ini sebenarnya berasal dari Malaysia.
Mister Potato merupakan jenama di bawah Mamee-Double Decker, syarikat yang berpusat di Melaka dan turut dikenali menerusi snek Mamee Monster.
Diperkenalkan pada tahun 1992, Mister Potato kemudian berkembang ke pasaran antarabangsa.
Tidak hairanlah jika ada pengguna di luar negara yang tidak menyedari snek kegemaran mereka itu merupakan jenama dari Malaysia.
5. AirAsia

AirAsia pula cukup dikenali dalam kalangan mereka yang gemar melancong dengan penerbangan tambang murah.
Jenama penerbangan yang berasal dari Malaysia ini berkembang ke beberapa negara di rantau Asia Tenggara, termasuk Indonesia.
Perkembangannya mendapat perhatian selepas Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun mengambil alih syarikat tersebut pada tahun 2001.
Kehadiran Indonesia AirAsia juga menjadikan jenama ini dekat dengan pengguna di negara jiran itu.
AirAsia mempunyai lebih 200 pesawat dengan lebih 21,000 kakitangan di seluruh Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Kemboja dan negara lain.
Di Indonesia, syarikat itu kini mempunyai satu ibu pejabat dan 16 pejabat perkhidmatan serta jualan di 12 bandar utama.
