Kerajaan mewartakan tanah seluas 50 ekar di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur, sebagai Tanah Rizab Melayu bagi memperkukuh pemilikan tanah dan kepentingan ekonomi Bumiputera.
Daripada keluasan itu, PETRONAS dilaporkan telah memulakan pembangunan di kawasan seluas 10 ekar pertama bagi menyediakan perumahan mampu milik.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan tanah strategik di ibu negara turut dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat Bumiputera.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut bersetuju menyediakan tanah strategik seluas 50 ekar di sekitar Kuala Lumpur, yang dianggarkan bernilai RM1 bilion, sebagai endowmen baharu kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra.
Menurut kerajaan, endowmen pertama berjumlah RM200 juta telah diberikan kepada yayasan berkenaan pada 1978, manakala tiada endowmen susulan disalurkan sejak 1981.
Melalui pemberian tanah ini, Permodalan Nasional Berhad (PNB) diharapkan dapat membangunkan kawasan berkenaan dengan mengambil kira keperluan perumahan mampu milik serta kepentingan ekonomi Bumiputera.
Selain itu, kerajaan turut bersetuju membangunkan tanah milik kerajaan seluas hampir 11 ekar di Belfield, Kuala Lumpur, bagi pembinaan sekurang-kurangnya 2,500 unit Rumah MADANI.
Daripada jumlah keseluruhan unit yang dirancang, sebanyak 70 peratus akan dikhususkan kepada golongan Bumiputera.
Inisiatif ini bertujuan memperluas peluang pemilikan rumah mampu milik, khususnya di kawasan strategik ibu negara.


