Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

582 Kawasan Lapang Di KL Kini Diwartakan, Lindungi 476.17 Hektar Untuk Kepentingan Awam

DIWARTAKAN
Kredit: Facebook Hannah Yeoh

Sebanyak 88 lot kawasan lapang di sekitar ibu negara diwartakan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan kawasan lapang yang dilindungi perundangan kini mencecah 582 lot melibatkan keluasan 476.17 hektar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pewartaan terbaharu melibatkan 26 lot seluas 7.33 hektar, bersamaan kira-kira 10 padang bola sepak.

Menurutnya, jumlah itu meningkatkan kawasan lapang yang diwartakan daripada 556 kepada 582 lot.

“Pewartaan ini memberikan perlindungan perundangan yang lebih jelas kepada kawasan lapang dan membantu memastikan ruang tersebut terus dipelihara untuk kepentingan awam.

“Kawasan lapang turut memainkan peranan penting dalam persekitaran bandar dengan membantu menyerap limpahan air hujan, mengurangkan kesan haba bandar dan menyediakan ruang rekreasi kepada komuniti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, pewartaan 26 lot terbaharu itu melibatkan lapan kawasan Parlimen iaitu Bandar Tun Razak sebanyak enam lot, Segambut (lima), Seputeh dan Cheras masing-masing empat lot, Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Batu masing-masing dua lot serta Setiawangsa satu lot.

Di Bandar Tun Razak, kawasan terbabit meliputi Alam Damai, Taman Damai Jaya dan Taman Connaught.

Sementara itu, kawasan di Segambut merangkumi Taman Segambut Indah, Taman Tun Dr Ismail, Taman Sri Hartamas, Taman Sri Kuching serta Taman Sri Bintang.

Bagi Seputeh pula, lot terbabit terletak di Taman LTAT, Taman Shanghai, Bandar Bukit Jalil dan Taman Esplanad, manakala Cheras melibatkan Taman Midah, Taman Connaught serta Taman Bukit Ria.

Turut diwartakan ialah kawasan lapang di Taman Desa Melawati dan Taman Setapak bagi Wangsa Maju; Bukit Persekutuan/Jalan Travers di Lembah Pantai; Taman Kok Lian di Batu serta Taman Keramat AU3 di Setiawangsa.

Orang ramai boleh semak status kawasan lapang

Hannah berkata, orang ramai boleh menyemak senarai, status pewartaan dan lokasi kesemua 582 kawasan lapang berkenaan menerusi pautan MyHijau di portal rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP).

Jelasnya, kemudahan itu membolehkan warga Kuala Lumpur dan persatuan penduduk mengetahui status kawasan lapang di kejiranan masing-masing, selain bersama-sama memantau serta memelihara ruang berkenaan.

Langkah itu juga memberi perlindungan perundangan yang lebih jelas bagi memastikan kawasan lapang terus dikekalkan untuk manfaat dan kepentingan komuniti.

Intipati
  • Kuala Lumpur kini mempunyai 582 lot kawasan lapang diwartakan, meliputi 476.17 hektar.
  • Pewartaan terbaharu melibatkan 26 lot seluas 7.33 hektar di lapan kawasan Parlimen.
  • Orang ramai boleh menyemak status dan lokasi kawasan lapang melalui pautan MyHijau PTGWP.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan