Sebanyak 60 struktur haram yang dibina di atas tanah kerajaan di sekitar Jalan Murai, off Jalan Ipoh, dirobohkan menerusi Operasi Penguatkuasaan Roboh Struktur.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya ditugaskan membantu Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dalam melaksanakan operasi berkenaan.
Menurut DBKL, tindakan itu dilaksanakan selepas Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) mengeluarkan notis pengosongan tapak bertarikh 18 Ogos 2026.
Katanya, operasi berkenaan dilaksanakan mengikut Seksyen 426A, Kanun Tanah Negara 1965.
“Operasi dijalankan dengan meroboh sebanyak 60 buah struktur haram yang dibina di atas tanah kerajaan,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.
Ujarnya, operasi berkenaan turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIMWPKL), Syarikat Air Selangor (SYABAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
Jelasnya, DBKL akan meneruskan tindakan penguatkuasaan serta pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan berkenaan tidak kembali diduduki atau dibangunkan secara tidak sah.
DBKL berkata, orang awam yang mempunyai sebarang aduan atau maklum balas berkaitan boleh menyalurkan maklumat melalui saluran aduan DBKL.


