Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

7 ‘Boss’ Malaysia Dihantar Ke Jepun, Ada Perubahan Besar Bakal Berlaku Di Negara Kita
Menembusi pasaran antarabangsa, terutamanya negara maju yang terkenal dengan amalan piawaian yang tinggi seperti Jepun, sememangnya menjadi impian setiap usahawan tempatan.
Peluang yang datang bukan sekadar satu pencapaian peribadi bagi usahawan tersebut, tetapi turut menjadi bukti bahawa produk Malaysia juga mampu bersaing di pentas dunia.
Tanpa diduga, impian berkenaan hadir menjadi satu realiti bagi tujuh buah syarikat tempatan yang cukup bertuah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong, yang menyertai delegasi rasmi Perdana Menteri ke Tokyo sempena Nikkei Forum Future of Asia 2026, turut membawa Bank Rakyat untuk menganjurkan program BizMatch “Make Malaysian Businesses Great” pada 9 Jun di Imperial Hotel Tokyo, sekali gus membuka peluang kepada tujuh syarikat Malaysia tersebut untuk dipertemukan dengan pemain industri Jepun.
Melalui platform pertemuan pemimpin perniagaan bertaraf antarabangsa ini, pintu gerbang kepada pasaran Jepun terbuka luas kepada delegasi perniagaan dari Malaysia ini.

Keberadaan tujuh syarikat ini di Negara Matahari Terbit ini bukan soal peluang perniagaan semata-mata, tetapi turut menggalas misi besar untuk membuktikan usahawan tempatan bukan jaguh kampung semata-mata, tetapi turut mampu bersaing di pentas dunia.
Delegasi kali ini dibarisi oleh syarikat-syarikat berpotensi besar yang mewakili pelbagai sektor strategik seperti keselamatan makanan, pertanian, teknologi hijau, pembuatan dan penjagaan kesihatan.
PT Resource Group
Sebuah syarikat pemegang pelaburan yang mempunyai beberapa anak syarikat seperti MHC Coldstorage, MO Foodmart dan HGMC Holding.
Terlibat dalam perniagaan pemprosesan dan perdagangan produk makanan laut sejuk beku dan barangan lain.
MAG Holding
Malaysian Aquaculture Group atau MAG Holding merupakan syarikat syarikat pengeluar makanan berasaskan akuakultur yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
MAG kini merupakan antara peneraju utama dalam industri akuakultur udang di Malaysia dengan memiliki dua ladang ternakan besar di pesisir pantai Tawau, Sabah.
Agro 19 Group
Syarikat seterusnya adalah Agro 19 Group iaitu syarikat yang mempunyai kepakaran dalam menghasilkan produk minyak dan lemak yang boleh dimakan dengan fokus kepada produk minyak sayuran premium.
Agro 19 Group menekankan aspek jaminan kualiti dan kepuasan pelanggan dalam membekalkan produk mereka kepada para pembeli.
AYAMAS
AYAMAS adalah salah satu jenama tempatan yang sudah dikenali segenap lapis masyarakat.
Syarikat ini merupakan antara peneraju industri poultry dan pemproses daging ayam utama dalam negara.
Ia mengendalikan kilang pemprosesan moden dan canggih di Port Klang, Selangor dengan keupayaan memproses sekitar 2 juta ekor ayam sebulan.
Nextgreen Global Berhad
Satu lagi syarikat pegangan pelaburan yang dibawa ke Jepun untuk meneroka pasaran di negara Matahari Terbit itu.
Nextgreen Global Berhad memfokuskan perniagaannya dalam ekonomi hijau dengan berpandukan prinsip teknologi hijau, kelestarian, tenaga boleh diperbaharui, dan sifar sisa.

Antaranya seperti memanfaatkan sepenuhnya sisa biomas kelapa sawit yang melimpah ruah di Malaysia untuk ditukarkan kepada produk hijau yang bernilai tinggi seperti kertas, baja organik dan makanan haiwan.
KMI Healthcare
KMI Healthcare (Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd.) adalah sebuah rangkaian hospital pakar swasta di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1996.
Ia merupakan anak syarikat kepada TDM Berhad, sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan memberi fokus kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan mesra pelanggan pada kadar yang berpatutan.
MAC World
MAC WORLD Industries Sdn Bhd merupakan sebuah kumpulan pengilang kontrak (toll manufacturing) yang pelbagai dan bersepadu negara.

Ia ditubuhkan pada tahun 2001 dan berkembang menjadi antara pemain utama dalam pasaran komoditi global dengan mengeksport produk dan perkhidmatan ke lebih daripada 65 buah negara.
Bermula sebagai pengeksport minyak sawit, MAC World kini dikenali sebagai pembekal sehenti (one-stop shop) untuk pelbagai produk antaranya produk tenusi, lemak bakeri, bahan kimia oleo dan produk agro.
Kehadiran delegasi ini di Tokyo bukanlah sekadar lawatan biasa. Jadual mereka diatur dengan sebaik mungkin bagi memastikan setiap saat di bumi Matahari Terbit ini memberi pulangan impak yang maksimum.
Semua syarikat diberi peluang sama rata menerusi program Bank Rakyat BizMatch: "Make Malaysian Businesses Great" ini.
Aturcara program bermula dengan Bizmatch iaitu padanan perniagaan pada pukul 1.30 petang dengan setiap syarikat mempunyai sesi masing-masing.
Program kemudian disusuli dengan ketibaan tetamu kehormat iaitu CEO Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Ahmad Shariff; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Steven Sim Chee Keong.

Dalam ucapannya, YB Steven Sim berkata, sejarah antara Malaysia dan Jepun boleh dijejaki sehingga 500 tahun lalu, bermula apabila terbinanya hubungan antara Empayar Kesultanan Melaka dengan kerajaan Okinawa.

“Hubungan antara Malaysia dengan Jepun merupakan hubungan yang jauh lebih dalam dan bersejarah.
“Apabila anda hadir ke Malaysia saya rasa jaminannya bukan sahaja anda berurusan dengan hubungan sejarah yang sudah berakar umbi antara kedua-dua negara, tetapi juga juga dengan negara yang komited kepada urus tadbir yang baik, komited terhadap perdagangan yang adil, komited kepada prinsip tanpa diskriminasi dan prinsip berkecuali,” katanya.
Kemuncak acara tersebut adalah sesi penyerahan dana yang secara keseluruhan berjumlah hampir RM300 juta oleh Bank Rakyat kepada usahawan-usahawan yang menyertai program itu.
Penglibatan tujuh syarikat ini sebenarnya membawa impak yang jauh lebih besar daripada sekadar keuntungan perniagaan masing-masing.
Sebenarnya, ada beberapa 'misi tersirat' yang bakal memberi pulangan besar kepada struktur ekonomi Malaysia yang mungkin ramai tidak sedar.
Menguasai Pasaran Halal Global
Seperti yang kita semua sedia maklum, Malaysia sememangnya terkenal sebagai pelopor industri halal.
Melalui hubungan ini, syarikat tempatan dapat memanfaatkan kekuatan logo Halal Malaysia untuk menawarkan produk berkualiti tinggi seperti makanan, minuman dan kosmetik yang mematuhi standard ketat JAKIM secara terus kepada pasaran Jepun.
Meningkatkan Standard Industri Domestik
Selain itu, Jepun juga dikenali sebagai negara yang sangat cerewet dan mempunyai piawaian kualiti yang amat tinggi.
Segala proses yang diambil untuk memenuhi kriteria pasaran Jepun ini secara tidak langsung melatih syarikat Malaysia untuk mengamalkan best business practices.
Hasilnya, kita boleh menjangkakan bahawa standard dan kualiti produk di dalam negara kita juga akan turut melonjak naik.
Kuasa Beli Tinggi & Peluang Pekerjaan
Kejayaan menembusi pasaran Jepun bermakna syarikat kita mendapat akses kepada pengguna yang mempunyai kuasa beli yang tinggi.
Apabila keuntungan meningkat, syarikat-syarikat ini boleh mengembangkan operasi mereka, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.
Berdasar sesi padanan perniagaan dan perbincangan yang berlangsung, KUSKOP berkata program berkenaan berpotensi menjana urus niaga melebihi RM500 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Kesimpulannya, langkah proaktif yang dijayakan oleh Bank Rakyat dan disokong oleh KUSKOP ini bukan sahaja membuka pintu rezeki baharu buat usahawan tempatan, malah boleh menjadi dorongan yang diperlukan untuk syarikat-syarikat Malaysia untuk berjaya di luar negara.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web dan Facebook Bank Rakyat serta laman web, Facebook, Instagram dan TikTok KUSKOP.