Lapangan terbang biasanya menjadi tempat persinggahan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi pilihan.
Namun, bagaimana jika terminal lapangan terbang itu sendiri sudah cukup indah sehingga membuatkan anda rasa seperti sedang berada di sebuah destinasi pelancongan?
Reka bentuk sesetengah terminal moden bukan sekadar mengutamakan fungsi, malah mengangkat unsur alam semula jadi, budaya tempatan dan seni bina sehingga pengalaman perjalanan bermula sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke lapangan terbang.
Malah, Prix Versailles, antara anugerah seni bina antarabangsa berprestij, baru-baru ini mengiktiraf beberapa lapangan terbang dengan reka bentuk luar biasa, termasuk dua di Amerika Syarikat.
Berikut tujuh terminal lapangan terbang yang mencuri perhatian menerusi seni bina dan reka bentuknya:
1. Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun, China
Guangzhou dikenali sebagai ‘Kota Bunga’, justeru tidak hairanlah alam semula jadi menjadi sumber inspirasi utama Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun.
Mengangkat tema ‘Blossom in Guangzhou’, reka bentuk terminal ini menampilkan bentuk melengkung, teres, taman dan ruang atrium yang diinspirasikan daripada elemen bunga serta alam sekitar.
Penggunaan kayu sebagai antara bahan utama turut memberikan suasana yang lebih hangat dan semula jadi berbanding kemasan logam atau plastik yang lazim ditemui di sesetengah terminal.

2. Terminal 3, Lapangan Terbang Frankfurt, Jerman
Jika Guangzhou mengambil inspirasi daripada alam, Terminal 3 Lapangan Terbang Frankfurt pula membawa konsep sebuah bandar ke dalam ruang terminal.
Pintu masuk dan ruang menunggu disusun seolah-olah jalan serta dataran, manakala kawasan pasar seluas kira-kira 64,500 meter persegi menempatkan pelbagai kedai dan restoran.
Dengan keluasan keseluruhan kira-kira 175,000 meter persegi, terminal ini juga hampir menyamai saiz pusat bandar Frankfurt.

3. Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Lokapriya Gopinath Bordoloi, Guwahati, India
Masuk sahaja ke Terminal 2 lapangan terbang di Guwahati, pengunjung seolah-olah dibawa ke dalam sebuah hutan buluh.
Reka bentuk oleh arkitek Nuru Karim itu mendapat inspirasi daripada orkid buluh, iaitu tumbuhan berbentuk seperti buluh dengan gugusan bunga.
Konsep tersebut diterjemahkan menerusi struktur terminal yang menyerupai hutan buluh gergasi.
Ruang menunggu dan transit pula dihiasi karya seni tempatan serta hasil kraftangan masyarakat setempat, sekali gus menonjolkan identiti budaya Guwahati.
4. Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Navi Mumbai, India
Satu lagi terminal dari India turut menjadikan tumbuhan sebagai sumber inspirasi.
Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Navi Mumbai menggunakan bunga teratai sebagai asas kepada bahasa reka bentuk keseluruhannya.
Reka bentuk oleh Zaha Hadid Architects itu dapat dilihat menerusi bumbung bersaiz besar dan tiang beralur yang menyerupai bentuk kelopak bunga.
Beberapa karya seni digital interaktif turut ditempatkan di antara tiang, memberikan pengalaman visual yang lebih menarik kepada penumpang.
5. Techo International Airport, Phnom Penh, Kemboja
Di Phnom Penh pula, Techo International Airport mengetengahkan identiti budaya Kemboja menerusi seni binanya.
Direka Foster + Partners, terminal berkenaan menampilkan bumbung melengkung yang diinspirasikan daripada bentuk istana dan kuil tradisional negara itu.
Bahagian siling pula direka menyerupai anyaman buluh dan rotan.
Menariknya, elemen ‘anyaman’ tersebut bukan sekadar untuk kecantikan. Reka bentuk berkenaan membantu menapis cahaya matahari tropika yang terik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sistem pengudaraan mekanikal.
Lapangan terbang itu turut dilengkapi ladang solar, sistem penuaian air hujan dan taman menegak.
Bunga Rumduol, bunga kebangsaan Kemboja, turut ditanam di beberapa bahagian ruang dalamannya bersama spesies tumbuhan tempatan.
6. Lapangan Terbang Antarabangsa Pittsburgh, Amerika Syarikat
Dari kejauhan, bumbung Lapangan Terbang Antarabangsa Pittsburgh kelihatan seakan-akan sebahagian daripada banjaran Allegheny.
Struktur itu disokong 38 tiang keluli berbentuk seperti pokok, menghasilkan ilusi sebuah hutan buatan di dalam terminal.
Reka bentuk oleh Gensler dan HDR bersama Luis Vidal + Architects pula mengambil inspirasi daripada landskap berhutan di Pennsylvania Barat.
Dinding kaca yang luas membolehkan cahaya semula jadi menerangi ruang dalaman, manakala empat teres terbuka memberi peluang kepada penumpang menikmati udara segar sementara menunggu penerbangan.
7. Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa San Diego, Amerika Syarikat
Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa San Diego pula menggabungkan sejarah dengan reka bentuk moden.
Terminal yang dibina pada 1967 itu merupakan antara lapangan terbang paling sibuk di Amerika Syarikat sebelum melalui proses pengubahsuaian dan reka bentuk semula secara menyeluruh.
Tarikan utamanya ialah fasad kaca melengkung sepanjang kira-kira 244 meter yang direka bersama artis dan arkitek James Carpenter.
Struktur tersebut membolehkan cahaya semula jadi memenuhi ruang terminal, sekali gus memberikan suasana lebih terbuka dan moden.
Perjalanan Bermula Sebelum Pesawat Berlepas
Tujuh terminal ini membuktikan bahawa lapangan terbang bukan sekadar tempat untuk mendaftar masuk, menunggu penerbangan atau mengambil bagasi.
Daripada bunga, hutan, seni bina tradisional hinggalah teknologi hijau, setiap reka bentuk membawa identiti tersendiri yang menjadikan pengalaman berada di lapangan terbang sebahagian daripada perjalanan itu sendiri.
Kadangkala, destinasi belum pun sampai, tetapi pengalaman indah sudah bermula sebaik sahaja kita melangkah masuk ke terminal.

