Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

8 Negara Kecam Israel Tolak Pelan Hala Tuju Tamatkan Perang Gaza

Negara Kecam Israel
Kredit: Bernama

ISTANBUL, 17 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Lapan negara pada Ahad kecam penolakan Israel terhadap pelan hala tuju bagi melengkapkan pelaksanaan rancangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menamatkan konflik Gaza, sambil menyifatkan tindakan itu menjejaskan usaha bagi mencapai keamanan berkekalan, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan bersama, menteri luar Türkiye, Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu mengecam penolakan Israel terhadap pelan hala tuju itu serta pendiriannya yang menolak penubuhan negara Palestin.

Para menteri berkata pendirian berkenaan merupakan “penolakan secara langsung” terhadap Pelan Komprehensif Trump untuk Menamatkan Konflik Gaza yang disokong menerusi Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tindakan Israel menjejaskan pelaksanaan pelan berkenaan dan secara asasnya melemahkan usaha kolektif yang dilaksanakan bagi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan, menurut para menteri.

“Penolakan sedemikian mengesahkan bahawa Israel kini bertanggungjawab menghalang usaha membawa keamanan ke Gaza dan seluruh Wilayah Palestin yang Diduduki,” menurut kenyataan itu.

Mereka berkata pelan hala tuju yang diterima puak-puak Palestin itu merupakan hasil usaha meluas pihak pengantara termasuk Mesir, Qatar, Türkiye dan Amerika Syarikat, bersama Wakil Tinggi Gaza serta Lembaga Keamanan.

Para menteri menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah pelucutan senjata, seiring dengan pengunduran tentera Israel, penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa, pemindahan kuasa pentadbiran kepada Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza serta pembinaan semula wilayah itu.

Mereka memberi amaran bahawa penolakan pelan hala tuju itu merupakan keengganan jelas untuk meneruskan pelaksanaan rancangan Trump dan mengancam untuk menggagalkan usaha Amerika Syarikat bagi menamatkan perang serta mewujudkan keadaan bagi mencapai keamanan berkekalan.

Kenyataan itu turut menekankan kepentingan “penglibatan Amerika Syarikat yang berterusan dan aktif” bagi memastikan Israel mematuhi sepenuhnya komitmen serta pengaturan yang ditetapkan di bawah rancangan dan pelan hala tuju itu, selain mengelakkan sebarang halangan lanjut.

Para menteri turut menggesa pelan itu dilaksanakan sepenuhnya dan serta-merta bagi menangani situasi kemanusiaan di Gaza, memastikan keselamatan dan kestabilan serta membuka jalan kepada usaha pembinaan semula dan pemulihan.

Mereka menegaskan semula sokongan terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mempunyai negara berdaulat, sambil menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk menafikan atau menghalang penubuhan negara Palestin, termasuk menerusi tindakan unilateral.

“Keamanan yang adil, berkekalan dan menyeluruh hanya dapat dicapai menerusi pelaksanaan penyelesaian dua negara serta pewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya,” menurut kenyataan itu.

Para menteri turut menekankan kepentingan peranan berterusan Lembaga Keamanan dan menggesa semua pihak menyokong usaha badan itu melaksanakan pelan hala tuju berkenaan serta memajukan fasa kedua rancangan Trump.

Mereka menggesa lembaga itu, dengan sokongan serta penglibatan aktif Amerika Syarikat mengambil “langkah segera dan konkrit” dalam ruang lingkup mandatnya demi memastikan rancangan itu terus dilaksanakan sebagaimana ditetapkan serta menghalang mana-mana pihak daripada menggagalkan pelaksanaannya.