Percutian dengan kapal persiaran memang nampak mudah iaitu daftar masuk, simpan beg dalam kabin dan bangun keesokan harinya di destinasi baharu.
Namun, bagi mereka yang kerap menaiki kapal persiaran, pengalaman percutian yang lebih menyeronokkan sebenarnya memerlukan sedikit perancangan.
Dengan pelbagai restoran, persembahan, kolam renang, aktiviti serta lawatan di setiap pelabuhan, ada beberapa perkara mudah yang sering terlepas pandang.
Jadi, sama ada anda baru pertama kali mahu mencuba percutian kapal persiaran atau sudah biasa mengumpul kad akses kabin sebagai kenangan, berikut beberapa tip yang boleh membantu menjadikan pelayaran anda lebih lancar.
1. Pantau Harga Walaupun Sudah Buat Tempahan
Sudah membuat tempahan bukan bermakna anda perlu berhenti memantau harga.
Menurut pengasas laman penjejakan tambang CruiseCaptain, Eric King, harga pelayaran boleh turun selepas tempahan dibuat.
Bergantung kepada polisi syarikat kapal persiaran, jenis tambang dan tempoh tempahan, pelancong mungkin boleh memohon pelarasan harga sekiranya tambang lebih rendah ditawarkan sebelum bayaran penuh dibuat.
King sendiri mendakwa berjaya menjimatkan kira-kira AS$2,000 untuk pelayaran Disney bersama keluarganya selepas terus memantau perubahan harga.
Bagaimanapun, polisi setiap syarikat berbeza.
Jadi, anda disarankan menyemak harga setiap satu atau dua minggu atau meminta ejen pelancongan memantaunya untuk anda.
2. Tempah Aktiviti Wajib Lebih Awal
Ada restoran khas yang memang mahu dicuba? Lawatan di pelabuhan yang tidak mahu dilepaskan? Atau rawatan spa yang sudah lama diimpikan?
Jangan tunggu sehingga berada di atas kapal untuk membuat tempahan.
Pakar pelayaran menyarankan penumpang memuat turun aplikasi syarikat kapal persiaran lebih awal bagi mengetahui bila tempahan untuk restoran, lawatan, persembahan dan aktiviti tertentu dibuka.
Menurut pemilik Pixie Vacations, Steve Griswold, sesetengah persembahan kapal persiaran kini turut memerlukan tempahan.
Penasihat pelancongan, Brian Rooney pula berkata, dia akan membuat tempahan sebaik sahaja peluang dibuka, terutama bagi restoran khas atau rawatan spa yang menjadi pilihan.
Katanya, waktu terbaik untuk aktiviti popular boleh habis dengan cepat, khususnya ketika pelayaran yang mendapat sambutan tinggi.
3. Kenali Susun Atur Kapal Seawal Mungkin
Kapal persiaran boleh menjadi sangat besar dan mempunyai banyak aras serta ruang.
Jadi, meluangkan kira-kira 20 minit untuk berjalan-jalan dan mengenali kedudukan restoran, teater, kolam renang, gimnasium serta kemudahan lain boleh menjimatkan masa sepanjang pelayaran.
Rooney berkata, langkah itu membantunya mengelakkan keadaan tercari-cari lokasi setiap kali mahu pergi ke sesuatu tempat.
Masa beberapa minit yang digunakan untuk mengenali kapal pada hari pertama juga boleh membantu anda menemui lokasi menarik yang mungkin terlepas pandang ketika sibuk mendaftar masuk.
4. Jangan Terus Serbu Bufet
Bufet mungkin kelihatan seperti pilihan paling mudah selepas menaiki kapal, namun ia juga biasanya antara lokasi paling sibuk pada hari pertama.
Sebaliknya, Griswold menyarankan penumpang bertanya kepada kru kapal atau ejen pelancongan mengenai restoran lain yang menyediakan makan tengah hari pada hari berkenaan.
Mana tahu, ada pilihan hidangan secara duduk yang lebih tenang dan membolehkan anda memulakan percutian tanpa perlu bersesak.
Jangan pula jadikan bufet sebagai satu-satunya pilihan sepanjang pelayaran kerana kebanyakan kapal menawarkan pelbagai restoran termasuk yang sudah termasuk dalam pakej serta restoran khas.
5. Semak Jadual Tetapi Jangan Cuba Buat Semua Aktiviti
Persembahan, sesi merasa makanan, kuiz, parti atas dek dan pelbagai aktiviti lain biasanya memenuhi jadual harian kapal persiaran.
Jadi, semak jadual setiap hari supaya anda tidak terlepas aktiviti yang benar-benar diminati.
Namun, jangan pula rasa perlu menyertai semuanya.
Menurut King, antara momen terbaik ketika menaiki kapal persiaran boleh berlaku apabila penumpang berhenti merancang setiap minit perjalanan.
Katanya, cari kerusi yang selesa, berehat dan beri ruang untuk menikmati suasana laut atau menyertai aktiviti secara spontan.
Pendek kata, semak jadual supaya tidak terlepas perkara penting, bukannya menjadikan percutian seperti jadual mesyuarat yang padat.
6. Ingat Waktu Perlu Kembali Ke Kapal
Ketika turun ke darat untuk meneroka destinasi, ada satu perkara yang tidak boleh dilupakan iaitu waktu kapal perlu kembali belayar.
Peguam maritim Jason R. Margulies mengingatkan penumpang supaya membezakan antara waktu kapal berlepas dengan waktu penumpang perlu sudah berada di atas kapal.
Pastikan juga sama ada waktu yang dinyatakan menggunakan waktu kapal atau waktu tempatan.
Margulies menyarankan penumpang menetapkan penggera lebih awal dan membawa nombor ejen pelabuhan serta maklumat untuk menghubungi kapal sekiranya berlaku kecemasan.
Sebelum meninggalkan kapal, semak aplikasi atau jadual harian bagi memastikan waktu kembali yang tepat.
7. Fahami Apa Yang Ditawarkan Dalam Setiap Lawatan
Gambar lawatan di sesuatu destinasi mungkin kelihatan menarik, tetapi jangan terus membuat tempahan hanya berdasarkan gambar.
Baca penerangan lengkap termasuk tahap kesukaran, syarat penyertaan dan sebarang sekatan yang ditetapkan.
Margulies berkata, penumpang perlu memastikan aktiviti yang dipilih bersesuaian dengan kemampuan fizikal serta jangkaan mereka terhadap perjalanan berkenaan.
Perkara itu lebih penting sekiranya melancong bersama kanak-kanak, warga emas atau kumpulan pelbagai generasi yang mempunyai tahap kemampuan berbeza.
Jika memilih untuk meneroka destinasi sendiri, pastikan anda memperuntukkan masa yang mencukupi untuk kembali ke kapal.

8. Luangkan Masa Di Luar Dan Nikmati Suasana Laut
Dengan restoran, pertunjukan, spa, kasino dan pelbagai kemudahan di dalam kapal, penumpang mungkin tidak sedar berapa banyak masa dihabiskan di ruang tertutup.
Namun, sesetengah pengembara menganggap momen paling bermakna berlaku ketika mereka sekadar melangkah keluar ke dek dan menikmati pemandangan.
Perancang pelancongan Adventure Life, Shannon Kendro berkata, penumpang wajar meluangkan masa di luar walaupun keadaan cuaca tidak seperti yang diharapkan.
Antara kenangan kegemarannya termasuk melihat istana di sepanjang Sungai Danube ketika waktu subuh serta menyaksikan Sungai St Lawrence yang membeku pada Januari.
Penasihat pelancongan Shannon Jones pula menyarankan penumpang naik ke dek atas selepas malam menjelang.
Jauh daripada pencemaran cahaya bandar, langit di tengah laut boleh menawarkan pengalaman melihat buruj, bintang jatuh dan, dalam keadaan sesuai, galaksi Bima Sakti.
Bagi Rooney pula, rutin kegemarannya adalah mencari tempat yang selesa sambil menikmati minuman dan menyaksikan kapal mula belayar.
Hakikatnya, restoran, hiburan dan lawatan di darat sememangnya antara tarikan utama pelayaran.
Tetapi sesekali, tinggalkan jadual perjalanan, keluar ke dek dan nikmati sahaja pemandangan di sekeliling.
Kerana kadangkala, pengalaman paling menarik ketika bercuti bukanlah aktiviti yang dirancang tetapi saat kita berhenti seketika dan menikmati perjalanan.

