PETALING JAYA, 17 Sept (Bernama) -- Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu Datuk Ab Ghani Hassan bercadang melepaskan jawatan selaku peneraju Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam tempoh sebulan, bagi memberi tumpuan penuh kepada tugas di badan induk bola sepak negara.
Ab Ghani berkata beliau tidak mahu memegang dua jawatan penting itu terlalu lama kerana FAM memerlukan perhatian segera, khususnya dalam usaha menangani pelbagai isu serta melaksanakan pembaharuan dalam tempoh baki penggal 2025-2029.
Beliau berkata proses mengenal pasti penggantinya di MFL sedang dibincangkan bersama pihak berkaitan bagi memastikan perjalanan Liga Malaysia (Liga-M) tidak terjejas.
“Saya akan meletakkan jawatan tapi bukan dalam masa terdekat ini untuk saya menjalankan dan menghabiskan tugas (presiden MFL)… insya-Allah tak lama lagi saya akan umumkan peletakan jawatan saya sebagai Presiden MFL.
“Saya kalau boleh nak ambil (masa) sebulan saja, insya-Allah kalau bolehlah. Sebab saya tak boleh tinggalkan MFL tanpa ada Presiden,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai Presiden FAM selepas Kongres Luar Biasa (EGM) FAM Kedua 2026 di sini hari ini.
Mengenai calon penggantinya, Ab Ghani yang dilantik sebagai Presiden MFL pada ogos 2021 berkata beliau sudah mempunyai beberapa nama dalam pertimbangan, namun perkara itu perlu diperhalusi sebelum sebarang pengumuman dibuat.
Terdahulu, Ab Ghani diumum Presiden FAM baharu selepas memperoleh undi majoriti pada Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025-2029.
Pada pemilihan bersempena dengan EGM itu, Ab Ghani memperoleh 20 undi, menewaskan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar yang meraih lima undi dalam pertandingan satu lawan satu bagi jawatan presiden.
Mengikut Artikel 33 (2) Statut FAM, Presiden MFL menyandang jawatan Naib Presiden 2 FAM secara automatik sekali gus jawatan tersebut tidak dipertandingkan hari ini.
Bagi jawatan Naib Presiden 1, Datuk Seri Rosmadi Ismail dipilih selepas memperoleh 15 undi, mengatasi Mohd Firdaus Mohamed dan Syed Yazid Syed Omar yang masing-masing mendapat lima undi.
Datuk N Saaran pula dipilih Naib Presiden 3 selepas meraih 18 undi, manakala pencabarnya Afizal Abu Othman mendapat tujuh undi.

