Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Mohd Isa Abdul Samad berkuat kuasa pada 8 Jun 2026.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi satu kenyataan berkata penarikan balik ini bersangkutan dengan sabitan kesalahan dan hukuman pemenjaraan yang sedang dihadapi oleh Isa Samad di Penjara Sungai Buloh.
"Penarikan balik kurniaan ini adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika disabitkan dengan sesuatu kesalahan," katanya.
Ia juga bertepatan dengan titah Sultan Ibrahim berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara.
Pada Februari lalu, Isa diarahkan untuk menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan dan hukuman atas pertuduhan rasuah terhadapnya melibatkan RM3.09 juta.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan, membenarkan rayuan pihak pendakwaan, sekali gus membatalkan pembebasan Mohd Isa terhadap sembilan pertuduhan rasuah, lapor Bernama.
“Keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan responden (Mohd Isa) atas kesemua sembilan pertuduhan dikembalikan semula,” kata Nordin yang bersidang bersama-sama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Nordin berkata bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi adalah wajar dan selaras dengan undang-undang.