Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AI Malaysia Pacu Pelaksanaan Agenda AI Negara Pada Mesyuarat Pertama Lembaga Pengarah

AI Negara

Putrajaya, 12 September 2026 - AI Malaysia Berhad telah mengadakan Mesyuarat Lembaga Pengarah buat pertama kali, menandakan fasa seterusnya dalam memperkukuh AI Malaysia sebagai agensi peneraju AI negara serta menetapkan hala tuju yang jelas berteraskan pelaksanaan berdisiplin, tadbir urus yang kukuh dan impak nasional yang boleh diukur.

Mesyuarat yang diadakan semalam menghimpunkan barisan Lembaga Pengarah sulung AI Malaysia bagi menetapkan asas tadbir urus dan operasi yang kukuh untuk membolehkan organisasi bergerak pantas dengan penuh akauntabiliti. Lembaga Pengarah turut meluluskan Piagam Lembaga Pengarah dan Had Kuasa sementara, sekali gus menetapkan kerangka yang jelas bagi proses membuat keputusan, tanggungjawab dan kawalan organisasi sejak mesyuarat pertamanya.

Mesyuarat tersebut turut menandakan satu langkah penting dalam peralihan AI Malaysia ke arah operasi sepenuhnya, dengan memastikan program AI negara dan kerja-kerja dasar yang sedang dilaksanakan diteruskan, sementara institusi baharu ini membina dan memperkukuh keupayaan operasinya.

Pengerusi AI Malaysia, Aireen Omar, berkata keutamaan Lembaga Pengarah adalah untuk memastikan aspirasi AI Malaysia disertai dengan disiplin pelaksanaan dan keupayaan untuk menghasilkan impak. Tambah beliau, “Fokus kami jelas: bergerak pantas, melaksanakan dengan penuh disiplin dan menghasilkan impak ekonomi serta sosial yang nyata. Lembaga Pengarah bukan sekadar pemerhati pasif. Kami berperanan untuk memperkasa AI Malaysia dalam membina keupayaan, mempercepat penerimagunaan AI merentas ekonomi dan memastikan Malaysia meraih nilai yang lebih besar daripada transformasi AI global.”

Hala tuju Lembaga Pengarah berteraskan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 dan aspirasi Negara AI 2030 untuk membawa Malaysia melangkaui peranan sebagai pengguna AI kepada sebuah negara yang turut menghasilkan dan mencipta penyelesaian, membangunkan keupayaan serta memiliki harta intelek AI, dengan lebih banyak inovasi dibangunkan dan dimiliki di Malaysia. Menerusi 28 inisiatif nasional, Pelan Tindakan ini menyediakan landasan pelaksanaan yang terselaras bagi menterjemahkan aspirasi tersebut kepada impak ekonomi dan sosial yang bermakna.

AI Malaysia Kukuhkan Hala Tuju AI Negara Dengan Tadbir Urus Lebih Tersusun

Teras kepada aspirasi ini ialah penerimagunaan AI secara meluas yang berlandaskan kepercayaan. AI Malaysia menggabungkan fungsi pelaksanaan dan penyelarasan di peringkat nasional, tadbir urus serta keselamatan AI bagi membantu menjadikan risiko AI lebih terukur dan dapat diurus. Pendekatan ini membolehkan sektor perniagaan, Kerajaan dan organisasi lain menerima guna serta melaksanakan AI dengan lebih yakin. Matlamatnya jelas: tadbir urus dan keselamatan perlu menjadi pemudah cara kepada inovasi dan penerimagunaan AI secara bertanggungjawab, bukan penghalang kepadanya.

Lembaga Pengarah turut menekankan pentingnya mengekalkan momentum yang telah dibina dan memastikan AI Malaysia dapat menunjukkan impak sejak peringkat awal, dengan meneruskan usaha serta asas kukuh yang telah dirintis oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO). Antara keutamaan semasa ialah Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI, penubuhan Institut Keselamatan AI Malaysia serta penyelarasan pelaksanaan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030. Usaha ini meneruskan asas yang telah dibangunkan, termasuk Kod Etika AI secara sukarela, Boardroom Primer mengenai tadbir urus AI, Kajian Impak AI Sektor Awam dan Buku Panduan Kesiapsiagaan Set Data AI.

Melangkah ke hadapan, AI Malaysia akan terus bekerjasama merentas Kerajaan, industri, akademia dan masyarakat untuk menterjemahkan aspirasi AI negara kepada hasil yang nyata termasuk membantu perniagaan meningkatkan produktiviti dan daya saing, memperkukuh keupayaan serta penyampaian perkhidmatan sektor awam, membangunkan bakat dan inovasi AI tempatan, serta memastikan manfaat AI dapat dirasai oleh rakyat dan komuniti di seluruh negara.

Mesyuarat pertama Lembaga Pengarah ini mencerminkan rentak dan iltizam yang mahu dibawa oleh AI Malaysia: tadbir urus yang kukuh sejak awal, kesinambungan pelaksanaan dan tumpuan yang jelas untuk menterjemahkan strategi kepada impak nasional yang boleh diukur.

Intipati
  • AI Malaysia mengadakan mesyuarat pertama Lembaga Pengarah di Putrajaya pada 11 September.
  • Lembaga meluluskan Piagam Lembaga Pengarah dan Had Kuasa sementara untuk kerangka keputusan.
  • Keutamaan semasa termasuk Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI dan Institut Keselamatan AI Malaysia.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan