Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AIA PUBLIC Takaful Umum Universiti Malaya Sebagai Rakan Universiti Baharu

AIA

AIA PUBLIC Takaful Umum Universiti Malaya Sebagai Rakan Universiti Baharu

AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) hari ini mengumumkan perluasan Program Biasiswa AIA Penyala Harapan menerusi komitmen dana tambahan sebanyak RM3.2 juta serta mengalu-alukan Universiti Malaya (UM) sebagai rakan universiti terbaharu program tersebut. Pengumuman itu dibuat ketika majlis penyampaian biasiswa program berkenaan yang meraikan kohort pertama seramai 20 penerima daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Komitmen tambahan RM3.2 juta tersebut akan menyokong seramai 40 pelajar lagi dengan RM1.6 juta diperuntukkan bagi kohort kedua yang terdiri daripada 20 penerima biasiswa di UIAM, manakala RM1.6 juta lagi diperuntukkan kepada kohort pertama seramai 20 penerima daripada UM. Dengan perluasan ini, program tersebut akan memberi manfaat kepada 60 penerima biasiswa yang menjadikan jumlah keseluruhan komitmen dana biasiswa sebanyak RM4.8 juta setakat ini.

Dilancarkan pada Oktober 2025, Program Biasiswa AIA Penyala Harapan dibiayai menerusi sumbangan lebihan takaful yang didermakan oleh pemegang sijil AIA PUBLIC Takaful kepada Tabung Amal AIA Penyala Harapan. Ditubuhkan oleh pengendali takaful itu, tabung amal berkenaan menyokong pelbagai inisiatif kebajikan yang bertujuan memperkasa komuniti serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat di seluruh negara. Selaras dengan semangat Berkat Sama-Sama, program ini menterjemahkan sumbangan kolektif kepada peluang pendidikan yang bermakna, sekali gus memberi impak dan manfaat yang berkekalan kepada generasi masa hadapan.

Mengulas mengenai perkembangan dan impak program yang semakin meluas, Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, Mohd Asri Omar berkata: “Dalam tempoh kurang setahun, Program Biasiswa AIA Penyala Harapan telah berkembang daripada menyokong satu kohort penerima biasiswa kepada menjalin kerjasama dengan dua universiti terkemuka negara. 

“Perkembangan ini mencerminkan hasrat kami untuk mewujudkan lebih banyak peluang untuk pelajar yang berpotensi tinggi dan berkelayakan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Kami amat berbangga dapat meraikan kumpulan pertama penerima biasiswa kami dan menyokong mereka dalam melangkah ke fasa seterusnya dalam perjalanan akademik mereka.”

“Walaupun bantuan kewangan merupakan aspek utama program ini, namun sokongan kami melangkaui pembiayaan pengajian semata-mata. Melalui pementoran, pendedahan industri serta inisiatif kesediaan kerjaya, kami berharap dapat melengkapkan para penerima biasiswa dengan kemahiran, keyakinan serta pengalaman yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia pekerjaan yang semakin dinamik dan kompetitif.”

“Dengan penyertaan Universiti Malaya dalam program ini serta peluasan komitmen kami kepada IIUM, kami berharap dapat memperkasa lebih ramai anak muda untuk merealisasikan potensi mereka, membina kerjaya yang bermakna dan menyumbang secara positif kepada keluarga, masyarakat serta negara, selaras dengan matlamat kami untuk membantu orang ramai menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna. Terima kasih kepada para peserta takaful kami yang telah memberikan sokongan berterusan melalui sumbangan lebihan takaful mereka sekali gus membolehkan program ini memperluaskan impak dan manfaatnya kepada lebih ramai pelajar,” tambah Asri.

UM, universiti tertua dan terkemuka di Malaysia menyertai Program Biasiswa AIA Penyala Harapan sebagai rakan universiti kedua, sekali gus memperluaskan capaian program ini bagi membolehkan lebih ramai pelajar Malaysia mendapat akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti. Kerjasama ini menggabungkan komitmen jangka panjang UM terhadap kecemerlangan akademik dan pembangunan bakat dengan misi program untuk melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berwawasan dan berteraskan tujuan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, Profesor Dr. Hasniza Zaman Huri berkata universiti itu berbesar hati menyertai Program Biasiswa AIA Penyala Harapan dalam usaha bersama memperkasa pelajar Malaysia yang beraspirasi tinggi melalui akses kepada pendidikan yang berkualiti.

“Sebagai sebuah universiti yang komited dalam membangunkan bakat masa hadapan, kami percaya setiap pelajar yang mempunyai potensi untuk berjaya wajar diberi peluang mengejar impian mereka tanpa mengira latar belakang atau keadaan kewangan. Inisiatif ini melengkapi usaha berterusan UM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah memiliki kemahiran berfikir secara kritis, keupayaan menyesuaikan diri serta nilai-nilai murni yang diperlukan untuk mengharungi dunia yang semakin kompleks.”

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan AIA PUBLIC Takaful untuk menyokong para pelajar merealisasikan aspirasi mereka dengan lebih yakin dan bersemangat, sekali gus membolehkan mereka menyumbang secara positif kepada masyarakat dan negara.”

Melalui Program Biasiswa AIA Penyala Harapan, penerima biasiswa akan menerima bantuan kewangan merangkumi yuran pengajian serta kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian sehingga empat (4) tahun. Para penerima biasiswa juga berpeluang menjalani latihan industri bersama AIA PUBLIC Takaful, tertakluk kepada pemenuhan syarat akademik dan program.

Di UIAM, biasiswa ini ditawarkan kepada pelajar tahun pertama yang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Perbankan Islam, Kewangan Islam, dan Undang-undang.

Kerjasama dengan UM pula memperluaskan tawaran program ke lebih banyak bidang pengajian termasuk Sains Aktuari, Sains Komputer, Ekonomi, Perakaunan, Kewangan, Perubatan, Pembedahan, Sains Kejururawatan dan Pentadbiran Perniagaan.

Pemilihan penerima biasiswa adalah berdasarkan gabungan prestasi akademik, keperluan kewangan serta aspirasi masa depan yang jelas. Pusat atau unit penajaan dan biasiswa universiti masing-masing memainkan peranan penting dalam menilai dan menyenarai pendek calon, menyediakan bimbingan akademik dan pementoran, selain memantau perkembangan pelajar sepanjang tempoh pengajian.

Pelajar yang layak dan telah menerima tawaran kemasukan bagi kursus ijazah sarjana muda yang dinyatakan di UIAM dan UM digalakkan untuk memohon melalui pusat atau unit penajaan dan biasiswa universiti masing-masing. Secara alternatif, layari www.aia.com.my untuk maklumat lanjut.

Intipati
  • AIA PUBLIC Takaful menambah RM3.2 juta bagi memperluas Program Biasiswa AIA Penyala Harapan.
  • UM menjadi rakan universiti kedua, menyertai UIAM dalam program biasiswa berkenaan.
  • Program itu akan memberi manfaat kepada 60 penerima dengan komitmen keseluruhan RM4.8 juta.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan