Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo dijangka mengumumkan kadar tambang baharu yang lebih kompetitif bagi laluan penerbangannya sama ada minggu depan atau pertengahan Julai ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pakej tambang yang bakal diperkenalkan itu turut merangkumi elaun bagasi serta hidangan dalam penerbangan tanpa sebarang caj tambahan.
Menurut hantaran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), beliau berkata struktur tambang baharu itu melibatkan beberapa laluan utama dengan tumpuan khusus diberikan kepada laluan Kuala Lumpur-Kuching yang merupakan antara laluan paling sibuk.
“Saya boleh beri sedikit bayangan. Tambang bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching akan menjadi lebih murah seperti yang telah kita janjikan.
“Harga tersebut turut merangkumi bagasi dan hidangan dalam penerbangan. Kebiasaannya syarikat penerbangan mengenakan caj tambahan untuk bagasi, namun bagi AirBorneo semuanya telah dimasukkan sekali termasuk makanan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Sebelum ini, Abang Johari memaklumkan AirBorneo dijadual memulakan operasi pesawat jet pada Julai 2026 sebagai fasa kedua pelan pengembangan syarikat penerbangan milik kerajaan negeri itu.
Menurut beliau, pada peringkat awal, operasi pesawat jet itu akan menghubungkan Kuching dengan beberapa destinasi utama iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Singapura dan Jakarta.
Katanya, fasa tersebut menyusul selepas pelaksanaan fasa pertama yang memberi tumpuan kepada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) menggunakan pesawat turboprop.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata penubuhan dan peluasan operasi AirBorneo merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang Sarawak untuk memperkukuh rangkaian udara, merancakkan sektor pelancongan, menarik lebih banyak pelaburan asing serta mewujudkan peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat negeri itu.