Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan video tular yang memaparkan Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam satu insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 adalah rakaman sebenar daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV).
AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden itu berlaku pada 28 September lepas ketika Mohd Shuhaily melakukan tinjauan bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi agensi berkenaan sempena ketibaan delegasi serta kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.
Menurut kenyataan itu, dalam tinjauan berkenaan, Ketua Pengarah AKPS bersama pasukan operasi turut melaksanakan aktiviti penguatkuasaan terhadap kegiatan individu warga asing yang disyaki terbabit dalam aktiviti “ulat” di kawasan KLIA.
AKPS berkata operasi itu dilaksanakan susulan aduan dan dakwaan orang ramai berhubung peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang serta kontraban hampir setiap hari di KLIA.


“Pengoperasian ini merupakan aktiviti penguatkuasaan pertama yang dilakukan oleh AKPS bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) KLIA dan dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten,” menurut kenyataan itu.
Susulan operasi berkenaan, seorang warga asing dikenal pasti sebelum dibawa ke ruangan bagasi untuk pemeriksaan lanjut.
AKPS menjelaskan proses pemeriksaan dan temu bual ketika itu hanya melibatkan pasukan operasi AKPS bersama AVSEC KLIA serta tidak membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain.
“Video tular adalah melibatkan dua individu lain yang ketika itu bukan terdiri daripada pasukan operasi telah memasuki ruangan bagasi berkenaan tanpa disedari pegawai dan telah merakam sesi temu bual antara Ketua Pengarah AKPS bersama warganegara asing tersebut tanpa kebenaran menggunakan telefon bimbit masing-masing.
“Tindakan tersebut telah menimbulkan kontroversi yang mana telah menjejaskan kewibaan operasi serta individu yang terlibat secara langsung di dalam operasi tersebut,” kata kenyataan itu lagi.
AKPS berkata kedua-dua individu terbabit membuat laporan polis sehari selepas kejadian, manakala laporan kedua dibuat dua hari kemudian sebelum rakaman video berkenaan tular di media sosial.
Sehubungan itu, Mohd Shuhaily turut membuat laporan polis berhubung dakwaan, rakaman dan penyebaran video berkenaan bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan, termasuk bagaimana rakaman itu diperoleh serta disebarkan.
AKPS berkata penyebaran rakaman itu dipercayai mempunyai unsur berniat jahat serta cubaan menjejaskan imej dan reputasi Mohd Shuhaily sebagai Ketua Pengarah AKPS serta agensi berkenaan.
Agensi itu memaklumkan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai.

