Alibaba Cloud mempergiat usaha memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia menerusi pelancaran model AI terbaharunya, Qwen4-Max, selain menganjurkan pertandingan peringkat kebangsaan yang menyasarkan penyertaan 100,000 belia tempatan.
Pengumuman itu dibuat sempena Qwen Conference Malaysia 2026 yang turut menyaksikan kerjasama Alibaba Cloud dengan MyDIGITAL Corporation serta beberapa syarikat tempatan termasuk CelcomDigi, AFED Digital, DayDreamer Group dan AIGC Lab Malaysia.
Menerusi kerjasama berkenaan, Alibaba Cloud mahu membantu golongan muda memanfaatkan teknologi AI dalam pembelajaran, pekerjaan dan kehidupan seharian, selain menggalakkan perniagaan tempatan menggunakan teknologi tersebut untuk meningkatkan perkhidmatan serta membangunkan produk digital baharu.
Dalam persidangan sama, Alibaba Cloud memperkenalkan Qwen4-Max, model bahasa besar (LLM) paling berkeupayaan dalam keluarga Qwen setakat ini.

Model yang mempunyai 2.4 trilion parameter itu dilengkapi keupayaan pemprosesan visual serta tetingkap konteks sehingga satu juta token, sekali gus membolehkannya melaksanakan tugasan kompleks melibatkan pengekodan, penyelidikan, kreativiti dan penaakulan visual.
Qwen4-Max turut mencatat kedudukan keenam dalam Code Arena, iaitu papan pendahulu yang menilai keupayaan model AI dalam tugasan pengekodan dunia sebenar.
Kita Bersama AI sasar 100,000 belia Malaysia
Selain memperkenalkan model AI baharu, Alibaba Cloud bersama MyDIGITAL Corporation turut melancarkan Kita Bersama AI, sebuah pertandingan kebangsaan di bawah inisiatif AI untuk Rakyat.
Pertandingan yang berlangsung selama dua bulan bermula 19 November 2026 hingga 18 Januari 2027 itu menyasarkan penyertaan 100,000 rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Menerusi tema Idea Anak Malaysia. Inovasi untuk Semua., peserta digalakkan menggunakan teknologi AI bagi menghasilkan penyelesaian kepada cabaran harian, termasuk membantu perniagaan kecil meningkatkan produktiviti serta menghasilkan filem pendek berdasarkan kisah komuniti.
Pertandingan itu merangkumi tiga bidang utama iaitu Pembelajaran Pintar, Kerja Pintar dan Ciptaan Pintar. Peserta turut diberikan tutorial serta latihan berpandu bagi membantu mereka menggunakan AI secara bertanggungjawab dalam tugasan harian dan projek kreatif.
Bagi kategori produktiviti, peserta akan menggunakan platform ejen AI Alibaba, MuleRun, untuk membangunkan aliran kerja berasaskan AI. Sementara itu, kategori kreatif pula membolehkan peserta menghasilkan cerita visual, papan cerita atau video pendek menggunakan platform WonderClip.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kemahiran dan keyakinan dalam menggunakan AI secara bertanggungjawab penting bagi memastikan rakyat dapat menikmati manfaat teknologi tersebut.
Beliau berkata, inisiatif AI untuk Rakyat bertujuan memberi peluang kepada golongan muda di seluruh negara untuk belajar, mencuba dan membangunkan penyelesaian terhadap cabaran dalam pengajian, pekerjaan serta komuniti masing-masing.
Alibaba Cloud buka pusat data keenam di Malaysia
Dalam perkembangan sama, Alibaba Cloud mengumumkan ketersediaan pusat data ketiganya di rantau awan awam Johor, sekali gus menjadikan jumlah pusat datanya di Malaysia sebanyak enam buah.
Rantau awan Johor merupakan rantau kedua Alibaba Cloud di Malaysia yang diperkenalkan pada Jun 2026, melengkapi tiga pusat data sedia ada di Kuala Lumpur.

Pelaburan itu bertujuan memperkukuh kapasiti infrastruktur awan tempatan, khususnya bagi organisasi yang menggunakan teknologi AI dan memerlukan penyimpanan data di dalam negara.
Menurut Pengurus Besar Malaysia Alibaba Cloud Intelligence, Choong Hon Keat, peluasan infrastruktur tersebut mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam membantu organisasi tempatan memanfaatkan teknologi AI.
Kerjasama industri perluas penggunaan AI
Alibaba Cloud turut memperkenalkan beberapa kerjasama baharu bersama syarikat tempatan bagi memperluas penggunaan teknologi AI dan awan dalam pelbagai sektor.
Antaranya termasuk kerjasama dengan CelcomDigi menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan penyelesaian digital berasaskan API, selain meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan.
Sementara itu, AFED Digital, syarikat teknologi yang berpangkalan di Cyberjaya, menggunakan infrastruktur Alibaba Cloud untuk membangunkan penyelesaian AI dalam sektor huluan minyak dan gas serta bidang lain menerusi produk seperti EDAFY dan Dynectus.
Dalam sektor kreatif pula, DayDreamer Group memanfaatkan model AI Qwen dan Wan menerusi platform Model Studio untuk menggerakkan Theater, sebuah platform penciptaan video berasaskan AI yang menggabungkan penulisan skrip, terjemahan serta penghasilan kandungan visual.
Kerjasama itu turut merangkumi penganjuran bengkel bagi membantu pencipta kandungan dan perniagaan tempatan menggunakan teknologi berkenaan.
Selain itu, Alibaba Cloud bekerjasama dengan AIGC Lab Malaysia, sebuah komuniti pencipta kandungan janaan AI berbahasa Mandarin yang mempunyai lebih 2,000 ahli.
Kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan kandungan pendidikan, pameran hasil komuniti, bengkel dan acara industri bagi membantu pencipta tempatan meningkatkan kemahiran serta meneroka peluang komersial dalam bidang AI.
Secara keseluruhan, usaha berkenaan mencerminkan langkah Alibaba Cloud untuk memperkukuh ekosistem AI Malaysia menerusi pembangunan bakat, peluasan infrastruktur digital dan kerjasama dengan pemain industri tempatan.
