Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Alliance Islamic Bank Perluaskan Dana Zakat Wakalah Untuk Memberi Manfaat Berterusan Kepada Usahawan Asnaf

Dana Zakat

Kuala Lumpur, 10 September 2026 – Alliance Islamic Bank (AIS) mahu memperluas keberkesanan Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM) kepada lebih ramai usahawan asnaf dengan meningkatkan saiz dana untuk program tersebut. Sejak diperkenalkan pada 2023, AZAM telah membantu usahawan asnaf membina perniagaan dan sumber pendapatan yang lebih mampan. Sejurus itu, AIS menjemput pembayar zakat di Selangor untuk menyalurkan zakat wakalah mereka ke program AZAM.

Kutipan zakat di Malaysia telah meningkat daripada RM3.8 bilion pada tahun 2021 kepada RM5.3 bilion pada tahun 2025, mewakili Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sebanyak 8.72 peratus. Sebahagian besarnya disalurkan sebagai bantuan segera kepada lapan golongan asnaf, dan hanya sebahagian kecil mengalir sebagai pembiayaan berstruktur kepada usahawan asnaf. Ini menunjukkan peluang besar untuk menggerakkan lebih banyak dana zakat bagi membantu usahawan asnaf membina sumber pendapatan sendiri.

Sehubungan itu, AIS menyasarkan tambahan dana zakat sebanyak RM3.45 juta menjelang Mac 2027 untuk AZAM. Dengan tambahan dana ini, AZAM dijangka dapat memperluaskan pembiayaan kepada kira-kira 690 usahawan asnaf.

Dana Zakat Diperkasa Untuk Memperluas Peluang Usahawan Asnaf

Setakat ini, AIS telah menyalurkan RM975,000 dalam dana zakat wakalah ke program AZAM sejak diperkenalkan pada 2023. Dengan sasaran sumbangan dana zakat sebanyak RM3.45 juta, jumlah keseluruhan dana bagi AZAM dijangka akan meningkat kepada RM4.425 juta.

AZAM merupakan program pembiayaan mikro berasaskan zakat yang menyediakan pembiayaan perniagaan tanpa caj keuntungan kepada usahawan asnaf, disertai latihan dan bimbingan bagi membantu mereka membina perniagaan dan menjana pendapatan sendiri. Dana yang dibayar balik oleh peserta akan disalurkan semula kepada usahawan asnaf yang lain, membolehkan dana zakat dimanfaatkan secara berterusan.

Hasil kajian menunjukkan bahawa AZAM telah menghasilkan perubahan yang nyata dan boleh diukur dalam kehidupan penerima, antaranya:

  • 55% peserta melaporkan perniagaan mereka lebih stabil berbanding sebelumnya.

  • Empat daripada setiap 10 peserta mencapai tahap kestabilan kewangan yang lebih baik, termasuk keupayaan mengurus keperluan harian dan hutang serta meningkatkan simpanan;

  • 71% peserta melaporkan peningkatan keyakinan diri;

  • 35% peserta menyatakan anak-anak mereka mula menunjukkan minat terhadap perniagaan keluarga;

  • 24% peserta melaporkan hubungan kekeluargaan yang lebih harmoni, hasil daripada pengurangan tekanan kewangan dan peningkatan kesejahteraan isi rumah.

  • Setiap RM1 yang disalurkan kepada AZAM menghasilkan pulangan nilai sosial sebanyak RM6.10.

Hasil ini telah disahkan oleh Social Value Malaysia, organisasi peneraju dalam pengukuran dan pengurusan nilai serta impak sosial, menerusi kajian Social Return on Investment (SROI) yang dijalankan terhadap AZAM.

Berdasarkan hasil yang telah dicapai, AIS kini menjemput muzakki di Selangor untuk menyalurkan zakat wakalah mereka melalui AZAM bagi membolehkan lebih ramai usahawan asnaf menerima pembiayaan, latihan dan bimbingan untuk membina dan mengembangkan perniagaan mereka.

Melalui AZAM, penyumbang dapat menyalurkan zakat wakalah kepada inisiatif yang telah menunjukkan hasil yang boleh diukur serta melihat bagaimana sumbangan mereka dimanfaatkan melalui laporan impak program. Pendekatan dana pusingan turut membolehkan dana yang dibayar balik disalurkan semula kepada penerima seterusnya, sekali gus memanjangkan manfaat setiap sumbangan. Penyumbang boleh juga menikmati pelepasan atau potongan cukai, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

AIS merupakan bank Islam pertama di Malaysia yang mempraktikkan struktur dana pusingan bagi agihan zakat. Dibawah konsep Qard, usahawan asnaf menerima pembiayaan mikro tanpa caj keuntungan dan bayaran balik akan disalurkan semula kepada penerima baharu.

Diperkenalkan pada 2023, AZAM merupakan program anjuran Alliance Islamic Bank yang telah mendapat kelulusan Majlis Fatwa Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim, “AZAM telah menunjukkan bahawa zakat produktif boleh menghasilkan perubahan yang nyata dan boleh diukur. Setakat ini, 25 penerima AZAM telah berjaya keluar daripada status asnaf fakir miskin. Pencapaian ini memberi keyakinan bahawa pendekatan ini boleh diperluaskan kepada lebih ramai usahawan asnaf.

“Pada masa yang sama, pembayar zakat mahu mengetahui bagaimana sumbangan mereka diuruskan dan hasil yang dicapai. Melalui AZAM, mereka dapat melihat hasil tersebut melalui laporan impak yang telus. Kami berharap lebih ramai individu dan syarikat akan bersama kami memperluaskan manfaat ini kepada lebih ramai usahawan asnaf,” katanya.

Pelaksanaan turut disokong oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), yang berperanan mengenal pasti dan mengesahkan usahawan asnaf yang layak menyertai program ini.

“Kerjasama strategik dengan Alliance Islamic Bank dan Amanah Ikhtiar Malaysia melalui inisiatif zakat wakalah ini memperkukuh ekosistem zakat dengan menghubungkan kutipan kepada agihan yang memberi impak nyata, khususnya dalam memperkasa usahawan asnaf. Asnaf yang dikenal pasti mempunyai bakat dalam perniagaan diberikan bantuan modal pusingan untuk merealisasikan impian mereka dan menjalankan pelan pembangunan perniagaan. Bagi Zakat Selangor, konsep ini bukan sekadar memenuhi keperluan semasa, tetapi membina keupayaan asnaf untuk lebih berdikari, berupaya untuk ada 'purchasing power' dan meningkatkan daya tahan serta masa depan asnaf yang lebih baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Haji Mohd Khaidzir Shahari.

Selain pembiayan, usahawan asnaf yang menyertai AZAM turut menerima latihan dan bimbingan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membantu mereka mengurus dan mengembangkan perniagaan serta memperkukuh pengurusan kewangan. Pada masa yang sama, agihan zakat secara sekali beri akan terus dikekalkan bagi memenuhi keperluan mendesak dan kritikal, termasuk bantuan bencana dan kecemasan perubatan. Gabungan pembiayaan, latihan dan bimbingan ini menjadi asas kepada keberkesanan AZAM.

Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Puan Noor Aeiza Hassan, berkata, “Kami percaya zakat mempunyai potensi besar untuk menjadi pemangkin kepada perubahan kehidupan. Apabila disokong dengan pembiayaan, latihan dan bimbingan yang bersesuaian, bantuan yang disalurkan bukan sahaja dapat memenuhi keperluan modal, malah membantu usahawan asnaf membina sumber pendapatan yang lebih kukuh dan mampan.”

AZAM selari dengan prinsip Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-Based Intermediation, VBI) dan Maqasid Syariah dalam menyokong pembangunan sosioekonomi yang mampan, adil dan berimpak tinggi.

Individu dan syarikat yang ingin menyalurkan zakat wakalah melalui AIS bagi menyokong lebih ramai usahawan asnaf menerusi AZAM boleh mendapatkan maklumat lanjut di https://www.alliancebank.com.my/Islamic/zakat-microfinancing

Intipati
  • Alliance Islamic Bank menyasarkan tambahan dana zakat RM3.45 juta untuk AZAM menjelang Mac 2027.
  • Tambahan dana itu dijangka memperluas pembiayaan kepada kira-kira 690 usahawan asnaf.
  • AZAM menawarkan pembiayaan mikro tanpa caj keuntungan, latihan dan bimbingan kepada usahawan asnaf.