Kehangatan Formula 1 yang berlangsung di Malaysia masih terasa walaupun perlumbaan semalam sudah melabuhkan tirainya.
Aksi di litar bukan sahaja menyajikan persaingan sengit antara pelumba, malah terus menjadi bualan peminat selepas perlumbaan berakhir.
Kehadiran F1 di Malaysia sememangnya mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat sukan permotoran tempatan.
Sepanjang berlangsungnya acara, pelbagai aksi dan momen menarik di dalam serta di luar litar turut menjadi perhatian, termasuk perkara yang dikongsikan sendiri oleh pasukan F1 di media sosial.
Basuh kereta ketika panas terik
Terbaharu, pasukan Alpine F1 mencuri perhatian selepas memuat naik satu hantaran yang menunjukkan mereka membasuh kereta ketika cuaca panas terik.
Apa yang lebih menarik, aksi tersebut dikaitkan dengan satu teori yang cukup dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu kalau basuh kereta ketika panas, tidak lama kemudian hujan akan turun.
Menerusi hantaran tersebut, Alpine F1 turut menulis kapsyen ringkas, “Menguji teori tersebut”, seolah-olah mahu menguji sendiri teori yang selama ini sering menjadi bahan jenaka dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bagi yang biasa dengan gurauan berkenaan, mencuci kereta ketika cuaca panas dikatakan seperti ‘mengundang’ hujan.
Baru sahaja kereta selesai dicuci dan dikeringkan, langit tiba-tiba berubah mendung sebelum hujan turun.
Namun, apa yang berlaku selepas hantaran Alpine F1 itu dimuat naik mungkin membuatkan ramai tersenyum.
Belum sempat kering, hujan turun
Tidak lama selepas video tersebut dikongsikan, hujan mula membasahi trek litar berkenaan.
Daripada cuaca panas terik ketika kereta sedang dicuci, keadaan kemudiannya berubah apabila hujan mula turun di kawasan litar.
Situasi itu pantas menarik perhatian netizen yang menganggap Alpine F1 seakan-akan berjaya ‘memanggil’ hujan selepas membasuh kereta.
Pengguna Threads @adilahzaira bergurau dengan menulis, “Sembur air, gerimis. Paip, hujan sederhana. Wax dan lapisan pelindung, ribut petir.”
Seorang lagi pengguna @faryarchivess pula berseloroh, “Alpine basuh kereta untuk memanggil hujan.
Gurauan tersebut merujuk kepada teori yang cukup sinonim dalam kalangan rakyat Malaysia, iaitu selepas mencuci kereta ketika cuaca panas, hujan dikatakan akan turun tidak lama kemudian.
Walaupun Alpine F1 sebenarnya hanya menyembur air pada kereta dan bukannya mencuci secara terperinci, pasukan itu tetap seakan-akan mendapat hasil yang diharapkan apabila hujan benar-benar turun tidak lama selepas percubaan tersebut.
Keadaan itu membuatkan hantaran berkenaan semakin menghiburkan, lebih-lebih lagi apabila ‘ujian’ ringkas untuk menguji teori tersebut seolah-olah membuahkan hasil di litar.
Alpine akui teori menjadi
Malah, Alpine F1 sendiri mengakui teori tersebut menjadi menerusi hantaran susulan yang berbunyi, “Adakah teori itu benar? Ya. Adakah ia membantu? Malangnya, tidak.”
Nampaknya, Alpine F1 sudah mendapat jawapan yang dicari, cuma hujan yang turun selepas itu mungkin bukan ‘hasil’ yang mereka harapkan.
Kalau di Malaysia, situasi seperti ini memang sudah biasa. Baru sahaja selesai cuci atau sembur kereta, langit pula seakan-akan faham isyarat untuk turunkan hujan.

