Pertahanan Awam Arab Saudi pada Khamis mengeluarkan beberapa amaran ringkas termasuk bagi bandar Makkah berhubung potensi bahaya.
Ia kebiasaannya dikaitkan dengan kemungkinan ancaman peluru berpandu atau dron.
“Satu amaran telah dikeluarkan oleh Platform Amaran Awal Nasional di bandar Makkah bagi memberi amaran mengenai potensi bahaya,” menurut kenyataan itu.
Amaran berasingan turut dikeluarkan bagi wilayah Yanbu di Laut Merah serta Taif, Jeddah dan Tabuk, lapor AFP.
Bagaimanapun, semua amaran berkenaan ditarik balik beberapa minit kemudian.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, amaran seumpama itu sering dikeluarkan sebelum serangan yang dikaitkan dengan kumpulan Houthi di Yaman.
Minggu lalu, Riyadh menuduh kumpulan berkenaan menyasarkan Makkah buat kali pertama sejak 2017 menggunakan sebuah dron yang kemudiannya berjaya ditembak jatuh.
Bagaimanapun, Houthi menafikan tuduhan tersebut.
Beberapa hari kemudian, kumpulan itu menyerang ibu negara Arab Saudi, Riyadh buat kali pertama dalam tempoh beberapa tahun, sekali gus menandakan peningkatan baharu dalam konflik berkenaan.

Houthi telah berperang dengan pakatan diketuai Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa sejak 2015.
Kumpulan itu kebelakangan ini meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi, sekali gus mengheret Yaman lebih jauh ke dalam konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.
Pada awal bulan ini, Houthi menguasai beberapa kawasan pantai strategik yang menghadap Selat Bab al-Mandab, laluan penting bagi eksport minyak Arab Saudi selepas merampas wilayah daripada pasukan kerajaan yang disokong Riyadh.
Pada Julai, gencatan senjata rapuh yang bermula pada 2022 antara Houthi dan kerajaan Yaman runtuh selepas kumpulan itu membenarkan sebuah pesawat Iran mendarat di Sanaa, bertentangan dengan kawalan Riyadh terhadap ruang udara Yaman.
Perkembangan itu kemudian mencetuskan beberapa siri serangan.
Houthi selepas itu mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi dan mula menyasarkan kapal tangki serta wilayah negara berkenaan.
Penguasaan wilayah oleh Houthi turut mengukuhkan kedudukan Iran dan sekutunya di dua laluan perairan utama yang menjadi kebergantungan negara-negara Teluk, termasuk Arab Saudi sebagai antara pengeksport minyak mentah terbesar dunia untuk mengeksport minyak mereka.
