Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Amirudin Nafi Dakwaan Tanah Rizab Melayu Selangor Semakin Berkurang

RIZAB
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan dakwaan tular kononnya keluasan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri itu semakin berkurang.

Sebaliknya, beliau berkata keluasan TRM di Selangor meningkat sebanyak 2,680 ekar sejak 2018, daripada 400,711 ekar kepada 403,391 ekar.

Amirudin berkata, berhubung pewartaan keluar tanah seluas 55.401 ekar di Tanjong Karang bagi pembangunan Sabak Bernam Development Area (SABDA), tanah dengan keluasan sama di Hulu Selangor sedang melalui proses pewartaan sebagai TRM.

“Pembangunan SABDA bagi meningkatkan keterjaminan makanan, mengembangkan agro-pelancongan dan mewujudkan peluang pekerjaan dilaksanakan tanpa mengabaikan kepentingan Tanah Rizab Melayu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Amirudin berkata SABDA merupakan usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk membangunkan anjung utara negeri itu, selain meningkatkan keterjaminan makanan dan mengembangkan potensi agro-pelancongan di Pesisir Pantai Barat.

Menurutnya, pembangunan berkenaan turut dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Jelas beliau, usaha itu diterajui anak syarikat Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), dengan turut melibatkan komuniti tempatan termasuk nelayan dan usahawan serta pihak akademia.

“Bagi mencapai keseimbangan antara pembangunan tempatan serta kepentingan Tanah Rizab Melayu, tanah dengan keluasan yang sama iaitu 55.401 ekar di Hulu Selangor turut melalui proses pewartaan sebagai Tanah Rizab Melayu,” katanya.