Bila sebut tentang rabies, ramai mungkin terus membayangkan anjing yang mengamuk, mengejar manusia, menggigit tanpa henti dan mulut berbuih. Tetapi sebenarnya, rabies tidak semestinya kelihatan begitu.
Haiwan yang dijangkiti rabies boleh menunjukkan perubahan tingkah laku yang berbeza. Ada yang tiba-tiba menjadi agresif, ada yang kelihatan gelisah dan keliru manakala sesetengahnya pula semakin lemah, berjalan terhuyung-hayang atau mengalami kelumpuhan.
Perkara ini kembali menjadi perhatian selepas seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu, Kedah meninggal dunia akibat rabies pada 27 September 2026.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, lelaki berkenaan mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lalu. Beliau mendapatkan rawatan selepas kejadian tersebut namun tidak menerima profilaksis pascapendedahan rabies atau post-exposure prophylaxis (PEP).
Pada 18 September, beliau mula mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas sebelum keadaan berkembang kepada kesukaran menelan, hidrofobia, aerofobia, keresahan serta perubahan tingkah laku.
Jangkitan rabies kemudian disahkan pada 26 September dan beliau meninggal dunia sehari selepas itu. Kes berkenaan merupakan kes rabies manusia pertama yang dilaporkan di Kedah sejak 1998.
Jadi, apa sebenarnya rabies dan apakah tanda yang perlu diperhatikan pada anjing atau kucing?
Apa itu Rabies?
Rabies ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus dan menyerang sistem saraf manusia serta haiwan.
Virus ini boleh merebak kepada manusia melalui air liur haiwan yang dijangkiti, lazimnya selepas gigitan atau cakaran. Anjing merupakan antara sumber utama penularan rabies kepada manusia tetapi penyakit ini juga boleh menjangkiti mamalia lain termasuk kucing.
Sebab itu, jangan anggap gigitan atau cakaran sebagai perkara kecil hanya kerana lukanya nampak cetek.
Lebih penting, jangan tunggu sehingga haiwan tersebut mula mengamuk atau sehingga mangsa menunjukkan simptom sebelum mendapatkan pemeriksaan.
Rabies boleh dicegah jika pendedahan dikendalikan dengan segera dan rawatan selepas pendedahan diberikan mengikut penilaian petugas kesihatan.
Anjing Rabies tak semestinya nampak ganas
Ini antara perkara paling penting untuk difahami. Anjing yang dijangkiti rabies tidak semestinya mengamuk atau menyerang semua orang.
Tanda penyakit boleh berbeza antara satu haiwan dengan haiwan yang lain. Perubahan yang berlaku juga mungkin bermula dengan sesuatu yang nampak biasa, seperti perubahan perangai.
Antara tanda yang boleh diperhatikan termasuk:
• Perangai berubah secara tiba-tiba
Anjing yang biasanya jinak tiba-tiba menjadi terlalu takut, resah, mudah marah atau menunjukkan perangai yang pelik.
• Menjadi agresif atau menggigit tanpa sebab jelas
Sesetengah haiwan boleh menjadi sangat agresif dan menyerang manusia atau haiwan lain tanpa provokasi yang jelas.
• Gelisah dan berkelakuan luar biasa
Haiwan mungkin kelihatan keliru, tidak tenteram atau bergerak tanpa tujuan seperti kebiasaannya.
• Air liur keluar secara berlebihan
Air liur yang banyak boleh berlaku akibat gangguan pada sistem saraf dan kesukaran menelan. Namun, tidak semua haiwan rabies akan kelihatan “berbuih mulut”.
• Sukar menelan atau perubahan suara
Haiwan mungkin mengalami kesukaran menelan makanan atau air dan suara atau bunyinya juga boleh berubah.
• Berjalan terhuyung-hayang
Gangguan sistem saraf boleh menyebabkan pergerakan menjadi tidak stabil dan haiwan mudah terjatuh.
• Semakin lemah atau lumpuh
Ada juga haiwan yang tidak menunjukkan tingkah laku agresif, sebaliknya mengalami kelemahan dan kelumpuhan yang semakin teruk.
• Sawan
Dalam keadaan penyakit yang lebih serius, gejala neurologi seperti sawan boleh berlaku.
Bagaimanapun, tanda-tanda ini tidak bermaksud haiwan tersebut pasti menghidap rabies kerana banyak keadaan lain juga boleh menyebabkan perubahan tingkah laku atau masalah saraf.
Jadi, jangan cuba membuat diagnosis sendiri. Jika seseorang sudah digigit atau dicakar haiwan yang berisiko, tindakan terhadap mangsa adalah jauh lebih penting daripada cuba meneka penyakit yang dialami haiwan tersebut.
Kucing pun boleh kena Rabies ke?
Ya, kucing juga boleh dijangkiti rabies. Rabies bukan penyakit anjing sahaja kerana virus ini boleh menjangkiti pelbagai mamalia termasuk kucing, kelawar, monyet dan haiwan liar lain.
Sebab itu, jangan anggap gigitan atau cakaran hanya berisiko jika ia datang daripada anjing. Jika digigit atau dicakar oleh kucing atau haiwan mamalia lain yang status kesihatannya tidak diketahui, cuci luka segera dan dapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan.
Digigit anjing atau kucing? Ini yang perlu dibuat
Kalau perkara ini berlaku, jangan tunggu sehingga luka menjadi teruk.
1. Basuh luka segera
Cuci kawasan gigitan atau cakaran menggunakan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya 15 minit.
Jangan sekadar lap luka menggunakan tisu atau membilasnya sekejap. Pembersihan luka merupakan langkah awal yang penting selepas pendedahan.
2. Dapatkan pemeriksaan perubatan
Selepas mencuci luka, dapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan secepat mungkin.
Petugas kesihatan akan menilai jenis pendedahan dan keadaan haiwan sebelum menentukan sama ada rawatan pencegahan seperti PEP diperlukan.
3. Jangan tunggu simptom muncul
Ini paling penting. Jangan tunggu sehingga mengalami demam, kebas, susah menelan atau takut air baru mahu mendapatkan rawatan.
Rawatan selepas pendedahan bertujuan mencegah virus daripada berkembang menjadi penyakit sebelum gejala klinikal bermula.
Apa itu PEP Rabies?
PEP atau post-exposure prophylaxis ialah rawatan pencegahan yang diberikan selepas seseorang berkemungkinan terdedah kepada virus rabies.
Bergantung kepada penilaian risiko, PEP boleh melibatkan vaksin rabies dan dalam keadaan tertentu rabies immunoglobulin.
Sama ada seseorang memerlukan PEP atau tidak perlu ditentukan oleh petugas kesihatan berdasarkan jenis gigitan atau cakaran, keadaan luka, haiwan yang terlibat serta faktor risiko lain.
Dalam kes Kedah baru-baru ini, JKN memaklumkan mangsa mendapatkan rawatan selepas kejadian gigitan tetapi tidak menerima PEP rabies.
Bila simptom Rabies mula muncul?
Rabies tidak semestinya menunjukkan simptom pada hari yang sama seseorang digigit.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tempoh inkubasi biasanya sekitar dua hingga tiga bulan tetapi boleh berbeza bergantung kepada keadaan tertentu.
Pada peringkat awal, seseorang mungkin mengalami demam, kelemahan atau sensasi luar biasa seperti kebas, kesemutan dan rasa terbakar pada kawasan luka.
Apabila jangkitan mula menjejaskan sistem saraf, keadaan boleh menjadi lebih serius. Antara gejala yang boleh berlaku termasuk kesukaran menelan, keresahan, perubahan tingkah laku, hidrofobia dan aerofobia.
Dalam kes yang serius, rabies boleh menyebabkan gangguan saraf, kelumpuhan, koma dan kematian. Sebab itu, jangan tunggu sehingga simptom muncul untuk mendapatkan rawatan.
Kesimpulannya, Rabies bukan bermaksud kita perlu takut kepada setiap anjing atau kucing yang ditemui. Apa yang lebih penting ialah tahu bagaimana hendak bertindak jika berlaku gigitan atau cakaran.
Haiwan yang dijangkiti rabies tidak semestinya mengamuk atau kelihatan berbuih mulut. Perubahan perangai, kegelisahan, air liur berlebihan, kesukaran menelan, pergerakan tidak stabil, kelemahan dan kelumpuhan juga boleh berlaku.
Jika digigit atau dicakar haiwan yang berisiko, basuh luka dengan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya 15 minit dan dapatkan pemeriksaan perubatan secepat mungkin.
Jangan tunggu sehingga luka nampak teruk. Jangan tunggu sehingga haiwan itu kelihatan sakit. Dan paling penting, jangan tunggu sehingga simptom rabies muncul.
Kerana apabila gejala klinikal rabies sudah muncul, penyakit ini hampir sentiasa membawa maut. Namun, pendedahan kepada rabies boleh dicegah daripada berkembang menjadi penyakit jika langkah pencegahan dan rawatan selepas pendedahan diberikan dengan segera dan betul.

