Syarikat kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat, Anthropic, mendedahkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti dan menyingkirkan satu akaun yang menggunakan Claude untuk mengendalikan sebuah platform manipulasi pilihan raya secara komersial yang menyasarkan pengguna di Malaysia.
Dalam laporan yang diterbitkan pada 10 September, syarikat itu mengesan rangkaian yang terdiri daripada kira-kira 1,000 akaun media sosial palsu di X, sebuah portal berita palsu serta beberapa dossier atau fail risikan yang direka-reka.
“Platform tersebut menyamar sebagai penyedia perisikan pertahanan siber dan alat bagi menangani penyebaran maklumat palsu.
“Bagaimanapun, siasatan kami menemui kaitan jelas dengan sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Istanbul, yang menjual akses kepada platform berkenaan sebagai perkhidmatan berbayar untuk menjalankan operasi pengaruh.
“Menurut dokumentasi milik pelaku ancaman itu sendiri, infrastruktur berkenaan dipasarkan sebagai sebuah ekosistem operasi politik masa nyata berasaskan AI bertaraf ketenteraan,” katanya.
Menurut laporan itu, operasi terbabit melibatkan penggunaan platform yang dibangunkan menerusi Claude untuk membina profil dan menyasarkan pengundi di Malaysia mengikut kawasan Parlimen menggunakan data banci dan pilihan raya yang telah dimasukkan ke dalam sistem.
Platform itu menguruskan rangkaian kira-kira 1,000 akaun palsu yang dioptimumkan untuk meningkatkan metrik interaksi secara buatan serta mengelak daripada dikesan oleh sistem pengesanan platform media sosial.
Sistem berkenaan turut mengendalikan sebuah laman berita palsu yang mengambil kandungan daripada laporan media Malaysia yang sah sebelum menggunakan model AI untuk menulis semula artikel tersebut beberapa kali dan menerbitkannya semula menggunakan nama penulis rekaan.
Selain itu, portal tersebut turut menerbitkan semula artikel daripada media asing yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Rusia dan China, termasuk TV BRICS, Xinhua, Sputnik/RIA dan CGTN.
Laporan itu berkata individu di sebalik operasi berkenaan turut menghasilkan dossier risikan palsu bagi menyebarkan dakwaan tidak benar terhadap seorang ahli politik pembangkang serta beberapa organisasi masyarakat sivil.
“Dakwaan tersebut direka sepenuhnya oleh pelaku berkenaan.
“Kami menilai kempen ini sebagai Kategori Dua dalam Breakout Scale, yang bermaksud aset operasi itu telah disebarkan merentasi beberapa platform, namun tiada bukti menunjukkan ia berjaya menembusi komuniti pengguna sebenar secara organik,” menurut laporan tersebut.
Laporan Anthropic itu turut mendedahkan bahawa pelaku berkenaan menggunakan Claude Code untuk membangunkan papan pemuka khas bagi mengurus, menjalankan dan memantau rangkaian akaun palsu tersebut.
Papan pemuka itu merekodkan metrik seperti jumlah tanda suka dan tontonan yang dijana oleh akaun palsu berkenaan bagi setiap sasaran.
“Dalam satu contoh melibatkan akaun seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia, angka yang direkodkan mencecah jutaan. Bagaimanapun, kerana angka berkenaan dilaporkan sendiri menerusi sistem milik pelaku tersebut, kami tidak dapat mengesahkannya secara bebas.
“Operasi itu menggunakan data banci dan pilihan raya sebenar serta jutaan rekod pengundi untuk menyasarkan isu politik dan sosial paling sensitif di Malaysia, termasuk kaum, agama dan institusi diraja, merentasi kesemua 222 kawasan Parlimen Malaysia.
“Setiap akaun mempunyai mekanisme warm-up atau tempoh pemanasan untuk menjadikannya kelihatan seperti akaun sebenar sebelum digunakan dalam operasi tersebut. Ini termasuk memperbaharui cookies dan alamat IP secara berkala,” katanya.
Anthropic turut mengesan satu permintaan dalam sistem berkenaan yang bertujuan menyokong Perdana Menteri Malaysia yang sedang memegang jawatan, dengan sasaran satu juta tontonan buatan pada akaunnya.
Pelaku berkenaan turut berusaha mendapatkan kontrak dengan badan pengawal selia komunikasi nasional Malaysia.
Bagaimanapun, Anthropic berkata pihaknya tidak menemui sebarang bukti bahawa usaha tersebut berjaya.
