Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kenyataan yang dibuat semasa satu ceramah politik di Pahang, Jun lepas.
Anwar selaku plaintif memfailkan tuntutan itu menerusi firma guaman Tetuan S.N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di sini dan menamakan Tuan Ibrahim sebagai defendan.
Pernyataan tuntutan Anwar mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang merujuk kepadanya ketika berucap dalam satu ceramah politik di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau pada 14 Jun lepas di hadapan orang awam dan wakil media yang hadir.
Beliau berkata klip video ucapan itu kemudian dimuat naik, diterbitkan atau diterbitkan semula di akaun YouTube “@Malaysianometry” pada keesokannya dengan tajuk “Tuan Ibrahim: Pengulas bola direhatkan lepas sertai PAS, ini tanda-tanda PH nak mampus”.
Menurut plaintif, setakat tarikh pemfailan tindakan saman itu, klip video berdurasi 11 minit tersebut telah menerima lebih 20,000 tontonan, 482 tanda suka dan 65 komen selain terus boleh diakses, ditonton serta dikongsi oleh orang awam.
Anwar berkata pada 8.08 pagi 15 Jun lepas, Tuan Ibrahim telah menerbitkan video klip yang mempunyai kenyataan fitnah itu menerusi akaun Facebook rasminya iaitu @Tuan Ibrahim Tuan Man dan pada 24 Jun lepas, ia turut dimuat naik di akaun Facebook “PAS Pahang”.
Beliau mendakwa perkataan fitnah itu secara khusus dan langsung merujuk kepada diri, watak, integriti, jawatan, profesion atau kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
Plaintif berkata perkataan-perkataan memfitnah itu adalah tidak benar, palsu, tidak berasas, keterlaluan dan berniat jahat serta telah diungkap atau diterbitkan tanpa sebarang fakta atau bukti sokongan yang munasabah.
"Plaintif tidak pernah mengarahkan, mempengaruhi atau menyebabkan Polis Diraja Malaysia menyiasat atau mengambil tindakan terhadap mana-mana individu semata-mata hanya kerana individu berkenaan telah mengkritik plaintif, kerajaan atau mana-mana anggota pentadbirannya," menurut pernyataan tuntutan itu.
Perdana Menteri berkata beliau tidak pernah campur tangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menentukan, memilih, mengundi atau melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dalam proses perlembagaan atau adat yang berkaitan dengannya di negeri berkenaan.
Anwar berkata disebabkan tindakan defendan itu, beliau mengalami kerosakan serius terhadap reputasi, watak, maruah, integriti, kredibiliti, nama baik serta kedudukannya secara peribadi mahupun dalam kapasiti sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Presiden PKR, Pengerusi Pakatan Harapan dan Ahli Parlimen Tambun.
Oleh itu, beliau memohon perintah injunksi untuk menghalang Tuan Ibrahim atau wakilnya daripada terus menerbitkan atau menerbitkan semula perkataan-perkataan memfitnah itu.
Perdana Menteri juga menuntut defendan memadamkan penerbitan fitnah di mana-mana akaun media sosial, platform atau penerbitan yang berada dalam milikan, jagaan atau kawalannya.
Selain ganti rugi am, Anwar menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta relif lain yang difikirkan adil dan wajar oleh mahkamah.