Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disenaraikan sebagai tokoh Muslim ke-13 paling berpengaruh di dunia menerusi edisi 2027 buku The World’s 500 Most Influential Muslims.
Penerbitan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) yang berpangkalan di Jordan itu meletakkan Anwar dalam kelompok 50 tokoh Muslim teratas berdasarkan pengaruh mereka terhadap masyarakat Islam dan dunia secara keseluruhannya.
Anwar Tokoh Muslim Ke-13 Dunia
Berdasarkan senarai berkenaan, Anwar berada di belakang Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan yang menduduki tangga ke-12.

Kedudukan pertama pula menampilkan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman.
Antara pemimpin yang turut berada dalam kelompok 10 teratas ialah Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; Ketua Turus Tentera Pakistan, Field Marshal Asim Munir serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Turut tersenarai ialah Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Sayyid Mojtaba Khamenei; Raja Jordan, Raja Abdullah II; Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani serta beberapa tokoh agama Islam terkemuka.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menduduki tangga ke-16, sekali gus menyaksikan pemimpin dari Malaysia dan Indonesia berada dalam kelompok 50 tokoh Muslim paling berpengaruh dunia.
Untuk makluman, penerbitan yang memasuki edisi ke-18 itu menghimpunkan 500 tokoh Muslim dari seluruh dunia.
Daripada jumlah tersebut, hanya 50 tokoh teratas diberikan kedudukan mengikut ranking. Baki 450 tokoh pula disenaraikan berdasarkan kategori pengaruh masing-masing.
Menurut RISSC, penilaian dibuat dengan mengambil kira gabungan beberapa aspek, termasuk impak sosial, pandangan masyarakat, penilaian pakar serta sumbangan jangka panjang seseorang tokoh.
Ini bermakna, pengaruh yang dinilai merangkumi pelbagai bidang dan tidak tertumpu kepada kepimpinan politik semata-mata.
Antara 13 kategori yang diketengahkan ialah kepimpinan politik, pentadbiran hal ehwal agama, ilmuwan, pendakwah dan pembimbing spiritual, kebajikan serta isu sosial.
Penilaian turut merangkumi bidang perniagaan, sains dan teknologi, seni dan budaya serta media.
