Keganasan rumah tangga dilihat semakin parah dalam masyarakat seluruh dunia dan ianya menjadi isu utama yang sering dibincangkan. Bukan sahaja menyebabkan kecederaan malah turut melibatkan kes kematian.
Disebabkan itu, bagi memperingati beberapa wanita yang telah meninggal dunia akibat masalah ini, seorang artis dan pereka grafik telah menghasilkan seni yang sangat menyentuh hati setiap pengunjung yang melalui kawasan tersebut.
Vahit Tuna dari Turki ‘mengabadikan’ sebanyak 440 pasang kasut tumit tinggi di sebuah bangunan di Istanbul milik wanita yang setiap satunya dibunuh oleh suami atau pasangan mereka pada 2018 di Turki.
Karya tersebut divisualkan bagi memberi peringatan kepada orang ramai mengenai masalah penderaan di dalam rumah tangga yang sering berlaku tanpa masyarakat sedar.
Bagi memuatkan sebanyak 440 kasut wanita tersebut, Vahit telah menggunakan sekitar 260 meter persegi dinding luar bangunan Yankose.
Pada tahun 2017, 409 wanita telah dibunuh oleh suami mereka dan bilangan ini meningkat kepada 440 kematian pada tahun 2018. Data pada pengakhiran tahun 2019 juga tidak menolak kemungkinan bahawa bilangan tersebut akan bertambah.
Sumber: Metro UK