Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ayob Khan Imbau Detik Operasi Selamatkan Rakyat Malaysia Diculik Kumpulan Abu Sayyaf

Ayob Khan Imbau Detik
Kredit Gambar: Bernama/ Ayob Khan Mydin Pitchay

Ayob Khan Imbau Detik Operasi Selamatkan Rakyat Malaysia Diculik Kumpulan Abu Sayyaf

Jika anda masih ingat, negara pernah digemparkan dengan kes seorang rakyat Malaysia yang diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf selama lebih setahun pada 2011.

Operasi khas telah dijalankan dan lelaki itu, Mohd Nazarrudin Saidin berjaya dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.

Bagi yang belum tahu, operasi tersebut diterajui oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, beliau menceritakan kembali detik-detik ketika operasi itu dijalankan.

Menurutnya, beliau pada ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman.

"Pada 8 Mei 2011, seorang rakyat Malaysia bernama Mohd Nazarrudin Saidin, berasal dari Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, Selangor, telah diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata ketika berada di Pulau Sulu, Selatan Filipina.

"Mangsa telah ditahan selama 378 hari oleh kumpulan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG) dan disembunyikan dari satu pulau ke satu pulau lain di gugusan kepulauan Mindanao bagi mengelak dikesan pihak berkuasa Filipina," katanya.

Tambahnya lagi, mangsa berada di dalam ketakutan sepanjang tempoh tersebut kerana diugut bunuh, dipaparkan video kekejaman dan diancam akan dipenggal kepala sekiranya tuntutan wang tebusan tidak dipenuhi.

"Selepas hampir setahun tanpa sebarang khabar berita, usaha membawa pulang mangsa akhirnya digerakkan melalui satu misi senyap berisiko tinggi yang dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan keberanian oleh pegawai-pegawai Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi / Counter Terrosim), kemudiannya dikenali sebagai Bahagian Counter Terrorism E8 Cawangan Khas," katanya.

Kredit: Ayob Khan Mydin Pitchay

Beliau turut berkongsi kronologi mengenai operasi tersebut. Berikut kronologinya:

  1. Pada awal April 2012, saya yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman telah menerima satu panggilan daripada Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Dato’ Abdul Azeez bin Abdul Rahim, yang memaklumkan terdapat satu keluarga dari Sungai Buloh yang merayu bantuan untuk membebaskan Mohd Nazarrudin bin Saidin yang telah hampir setahun tanpa sebarang perkembangan.

  2. Susulan makluman tersebut, saya telah mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk bertemu secara langsung dengan keluarga mangsa di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, Selangor bagi mendapatkan maklumat lanjut serta menilai situasi sebenar kes penculikan tersebut.

  3. Hasil pertemuan dengan keluarga mangsa, yang hilang tempat bergantung serta rayuan penuh emosi daripada anak-anak mangsa yang memohon jasa baik pihak polis untuk menyelamatkan bapa mereka, telah menguatkan iltizam kami untuk membantu membebaskan mangsa walau apa jua risiko yang bakal dihadapi.

  4. Susulan itu, saya telah memanggil tiga pegawai operasi saya iaitu Reno, Jaybon dan Komeng (call sign bagi melindungi identiti sebenar) untuk merangka strategi serta mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan kes penculikan ini secara sulit dan berkesan.

  5. Ketiga-tiga pegawai operasi tersebut telah diarahkan untuk bergerak ke Sandakan, Sabah bagi bertemu dengan beberapa ‘sumber’ di lapangan yang mempunyai rangkaian dan hubungan di Selatan Filipina, dengan tujuan mendapatkan lokasi terkini mangsa serta kaedah membawa keluar mangsa dengan selamat.

  6. Pada pertengahan April 2012, pegawai-pegawai operasi kami telah berulang-alik ke Sandakan bagi mengatur pertemuan dengan ‘sumber’. Berbekalkan pengalaman luas dalam merekrut dan mengendalikan sumber, perancangan rapi telah disusun bagi memastikan operasi ini dapat dijalankan tanpa menimbulkan sebarang kecurigaan.

  7. Hasil dari inteligen yang diperolehi mendedahkan kes penculikan ini diketuai oleh Apo Mike @ Majan Sahidjuan yang merupakan seorang Sub-Komander Abu Sayyaf iaitu perancang utama kegiatan kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) di pantai timur Sabah. Rundingan tersebut menekankan hujah kemanusiaan, keadaan keluarga mangsa yang sangat daif serta hakikat bahawa mangsa merupakan saudara seagama Islam, yang sedikit demi sedikit telah melembutkan pendirian penculik.

  8. Pada awal Mei 2012, saya bersama beberapa lagi orang pegawai telah berlepas ke Sandakan dan membuka Tactical Operation Center (TOC) di lokasi sulit bagi menyelaras operasi tersebut. Bagi memastikan kelancaran operasi, kerja-kerja risikan lapangan turut dijalankan termasuk pemerhatian pergerakan keluar masuk bot dan kapal di perairan Sandakan, serta mengenal pasti waktu dan laluan paling sesuai untuk pergerakan tanpa dikesan.

  9. Setelah rundingan akhir dimuktamadkan, pada 11 Mei 2012, ‘sumber’ telah digerakkan ke Pulau Jolo, Selatan Filipina bagi mengambil mangsa yang ditahan oleh pihak ASG. ‘Sumber’ tersebut telah mengambil risiko besar dengan belayar hampir 24 jam menggunakan bot laju dari Jolo ke arah Sandakan dalam keadaan laut ganas, sambil mengelak daripada dikesan oleh kumpulan penculik lain.

  10. Pada hari Ahad, 13 Mei 2012, seawal jam 0200 pagi, Reno dan Jaybon, pegawai operasi kami berlepas turun dan menunggu di kawasan pokok bakau sekitar Jampiras, Sandakan. Dalam suasana gelap dan penuh debaran, doa dan tawakal menjadi sandaran utama pada ketika itu.

  11. Akhirnya, pada jam 0500 pagi, ' sumber ' telah menghubungi Pegawai Operasi untuk menyerahkan mangsa di tengah-tengah perairan Sandakan–Taganak sebelum kesemua mereka selamat mendarat di Sandakan pada jam 0615 pagi tanpa dikesan oleh mana-mana pihak. Saya bersama pegawai-pegawai dari Tactical Operation Center (TOC) yang menanti di Jeti Sandakan menyambut ketibaan Nazarudin, Reno dan Jaybon.

Kredit: Ayob Khan Mydin Pitchay

Ujarnya, kejayaan operasi sulit berisiko tinggi itu berjaya dilakukan dengan perancangan yang rapi. Ia juga hasil keberanian pegawai-pegawai di Counter Terrorism khususnya Reno, Jaybon dan Komeng.

"Mereka merupakan wira-wira tidak didendang dan hanya dikenali dengan nama samaran," katanya.