Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ayob Khan Titip Pesan Terakhir, Jangan Gadai Maruah PDRM Demi Wang

Ayob Khan
Kredit: Bernama

Ayob Khan Titip Pesan Terakhir, Jangan Gadai Maruah PDRM Demi Wang

Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menitipkan peringatan buat seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar tidak sesekali menggadaikan maruah dan merosakkan nama baik pasukan demi kepentingan peribadi atau habuan wang, lapor Astro AWANI.

Dalam ucapan terakhir sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, beliau menegaskan integriti perlu menjadi pegangan setiap pegawai dan anggota dalam terus mempertahankan serta menjunjung amanah yang menjadi tunjang kepada institusi kepolisan.

“Jangan rosakkan pasukan ini hanya kerana kepentingan diri. Jangan jual maruah kerana wang.

“Jangan gunakan kuasa untuk menindas mereka yang lemah dan jangan sesekali lupa di sebalik setiap kuasa yang kita miliki, terdapat rakyat yang mengharapkan keadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, pada Ahad.

Tambah beliau, integriti bukan dinilai ketika seseorang dipuji, sebaliknya ketika tiada sesiapa yang melihat setiap tindakan dilakukan.

Menurutnya, setiap amanah dan kuasa yang diberikan akan dipersoalkan serta dipertanggungjawabkan, bukan sahaja di dunia malah di hadapan Allah SWT. Perkara inilah yang perlu sentiasa diinsafi oleh setiap warga PDRM.

“Manusia mungkin tidak melihat. Ketua mungkin tidak mengetahui. Namun Allah SWT sentiasa melihat. Malaikat Raqib dan Atid sentiasa mencatat.

“Setiap amanah akan dipersoalkan. Setiap kuasa akan dipertanggungjawabkan,” katanya.

Dalam majlis ini, Datuk Seri Ibrahim Darus meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Ayob Khan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Untuk makluman, Ayob Khan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Negara.

Beliau dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah dan merupakan lulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain itu, beliau pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.


Sumber:Awani