Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bagan Datuk berpotensi jadi persinggahan pelancong ke Pulau Pangkor

BAGAN
Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan ketika ditemui Siakap Keli di Masjid Tuminah Hamidi, hari ini. Gambar: Haziq Hakimi/ SK

Daerah Bagan Datuk, Perak berpotensi menjadi salah satu destinasi persinggahan pelancong, khususnya pelancong luar negara yang melalui laluan menuju ke Pulau Pangkor.

Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan berkata, daerah berkenaan mempunyai pelbagai produk pelancongan yang mampu menarik pelancong untuk singgah dan meluangkan masa di kawasan itu.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Lawatan Libat Urus Pelancongan Mesra Muslim (MFTG): Teluk Intan dan Bagan Datuk, Perak, di sini, petang tadi.

Katanya kepada Siakap Keli, antara tarikan utama di Bagan Datuk ialah Masjid Tuminah Hamidi yang mempunyai keunikan tersendiri dari segi seni bina, ukiran dan corak yang menghiasi ruang dalamannya.

“Selain bentuk luaran yang menarik dan konsep masjid terapung, bahagian dalam masjid juga amat cantik. Malah, masjid ini mempunyai galeri yang menerangkan setiap corak, ukiran dan binaan yang terdapat di dalamnya.

“Setiap corak dan ukiran bukan sekadar dibuat untuk tujuan kecantikan, tetapi mempunyai mesej serta maksud tersendiri,” katanya.

Menurut beliau, tarikan di sekitar Masjid Tuminah Hamidi juga membolehkan pelancong menghabiskan masa sekitar dua hingga tiga jam tanpa perlu pergi jauh dari kawasan berkenaan.

Ujarnya, kawasan waterfront berhampiran masjid turut mempunyai beberapa produk pelancongan seperti Rumah Terbalik, replika kapal dan pusat pelancongan, selain menawarkan pemandangan matahari terbenam.

“Kalau pelancong datang ke masjid ini, di sebelahnya ada waterfront, Rumah Terbalik, pusat pelancongan dan replika kapal. Jadi, kalau hanya berada di kawasan riverfront ini, sudah ada sekurang-kurangnya tiga produk yang boleh dilawati.

“Pada waktu petang, pengunjung juga boleh menikmati pemandangan matahari terbenam dari kawasan berhampiran masjid,” jelasnya.

Mohammad Faisal berkata, kedudukan Bagan Datuk yang berdekatan dengan beberapa daerah lain seperti Teluk Intan dan Pasir Salak turut memberikan kelebihan kerana kawasan berkenaan mempunyai pelbagai produk pelancongan.

Jelasnya, rangkaian destinasi antara Bagan Datuk, Teluk Intan dan Pasir Salak boleh dibangunkan sebagai satu laluan pelancongan yang menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

“Kalau pergi Teluk Intan, ada Menara Condong, manakala di Pasir Salak pula terdapat pelbagai tarikan berkaitan sejarah. Jadi, tempat-tempat ini memberikan kelebihan kepada pelancong yang datang ke kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ITC turut mengambil pendekatan membawa seramai 55 Muslim-Friendly Tourist Guides (MFTGs) menyertai lawatan berkenaan bagi meningkatkan pengetahuan mereka mengenai produk pelancongan di Bagan Datuk dan kawasan sekitarnya.

Menurutnya, pemandu pelancong memainkan peranan penting dalam merancang perjalanan pelancong, termasuk memperkenalkan destinasi yang sebelum ini kurang diketahui.

“Dengan adanya pendedahan ini, kita membawa mereka ke beberapa tempat di sekeliling supaya pemandu pelancong mengenali produk-produk ini dengan lebih dekat dan seterusnya boleh membawa lebih ramai pelancong, khususnya pelancong luar negara, ke daerah ini,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha berkenaan amat penting memandangkan laluan Bagan Datuk merupakan antara laluan yang boleh dimanfaatkan pelancong untuk ke Pulau Pangkor.

“Kita harapkan kalau mereka melalui laluan ini, boleh singgah sekejap di Bagan Datuk kerana daerah ini mempunyai pelbagai produk pelancongan yang boleh dikunjungi sepanjang perjalanan,” katanya.

National Mosque Open Day galakkan bukan Islam kenali masjid

Sementara itu, Mohammad Faisal berkata, inisiatif National Mosque Open Day (NMOD) turut memainkan peranan penting dalam memperkenalkan masjid sebagai salah satu produk pelancongan dan ruang untuk masyarakat mengenali sejarah serta seni bina Islam dengan lebih dekat.

Katanya, masjid bukan sekadar tempat ibadah, malah mempunyai nilai sejarah, seni bina dan budaya yang boleh dikongsi dengan masyarakat termasuk pelancong bukan Islam.

“Harapan kita melalui National Mosque Open Day adalah supaya pelancong dalam negara, khususnya bukan Islam, tahu bahawa masjid juga merupakan tempat yang boleh mereka lawati.

“Ada yang datang untuk menikmati sejarah masjid, ada yang mahu melihat seni bina dan ada juga yang datang kerana tertarik dengan keindahan masjid itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan tersebut selari dengan usaha memperkenalkan konsep masjid sebagai ruang yang terbuka kepada masyarakat, selain menjadi tempat untuk beribadah dan berkumpul.

Jelasnya, Masjid Putra misalnya menerima lebih sejuta pelancong setiap tahun, sekali gus menunjukkan bahawa masjid mempunyai potensi besar sebagai salah satu tarikan pelancongan.

“Masjid bukan sekadar tempat untuk beribadah, tetapi lebih daripada itu. Ia juga merupakan tempat untuk kita berkumpul, berinteraksi dan mengenali antara satu sama lain.

“Jadi, kita mahu pemandu pelancong membawa mesej bahawa masjid mempunyai nilai yang lebih luas dan boleh menjadi sebahagian daripada pengalaman pelancongan,” katanya.

Intipati
  • Bagan Datuk berpotensi menjadi persinggahan pelancong luar negara menuju ke Pulau Pangkor.
  • Masjid Tuminah Hamidi, waterfront, Rumah Terbalik dan replika kapal antara tarikan utama daerah itu.
  • ITC membawa 55 pemandu pelancong mesra Muslim mengenali produk sekitar Bagan Datuk.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan