SHAH ALAM, 4 Nov (Bernama) -- Beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan awal pagi tadi, menyebabkan beberapa laluan utama dinaiki air dan menjejaskan pergerakan kenderaan.
Perkongsian pengguna menerusi aplikasi Threads memaparkan keadaan banjir di beberapa lokasi, termasuk Seksyen 13, Setia Alam dan Seksyen 22.
Seorang pengguna Threads, slyuza memaklumkan kawasan di hadapan pusat beli-belah Giant di Seksyen 13 dinaiki air, sekali gus mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan.
Seorang lagi pengguna, amiruddinsya_ berkongsi maklumat pada 5 pagi bahawa laluan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) antara Setia Alam dan Shah Alam, bagi kedua-dua arah, ditutup akibat banjir.
Sementara itu, pengguna nazriahm.ad memaklumkan pada 3.30 pagi, lebuh raya di sekitar Seksyen 13 masih ditutup, selain menjangkakan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak pagi ini.
Pengguna Threads, faraamcl turut berkongsi keadaan kesesakan di laluan masuk ke Lebuhraya NKVE (E1) menghala ke Plaza Tol Shah Alam, ketika orang ramai mula menggunakan laluan berkenaan untuk ke tempat kerja pagi ini.
Dalam pada itu, menerusi laporan terkini akaun X @plustrafik, PLUS Malaysia memaklumkan laluan dari Lebuhraya Guthrie (GCE) menuju ke Plaza Tol Shah Alam ditutup akibat banjir kilat dan pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif.
Bagaimanapun, semua lorong di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di persimpangan Shah Alam dari arah Seafield menuju Setia Alam, yang ditutup sejak malam tadi, telah dibuka semula, namun pengguna di minta berhati-hati.



