Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

"Bapa MRSM" Meninggal Dunia

bapa mrsm
Kredit: Fb Shamsul Azri bin Abu Bakar

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Pengasas Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Abdul Wahab Alwi, 84, meninggal dunia pada 3 pagi tadi.

Berita pemergian Abdul Wahab, yang juga dikenali sebagai “Bapa MRSM” dikongsikan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA) menerusi hantaran Instagram hari ini.

ANSARA menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan seorang tokoh serta insan yang telah membantu mencipta peluang dan membina laluan pendidikan untuk generasi demi generasi anak Malaysia.

“Daripada gagasan yang beliau bantu lahirkan, MRSM telah melahirkan ribuan alumni yang kini berbakti dalam pelbagai bidang - kerajaan, keselamatan, perubatan, kejuruteraan, akademik, perniagaan, profesional serta masyarakat.

“Mungkin tidak semua daripada kita pernah bertemu atau mengenali Allahyarham, namun kita semua adalah antara mereka yang pernah melalui pintu peluang yang beliau bantu buka,” menurut hantaran itu.

ANSARA turut memaklumkan jenazah Allahyarham disolatkan pada 11 pagi tadi di Masjid Raja Bendahara Tengku Bandar Shah, Denai Alam, Shah Alam, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina.

“Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan menerima segala jasa serta amal jariah beliau kepada agama, bangsa dan negara,” menurut hantaran itu.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, sambil menyifatkan Abdul Wahab yang merupakan bekas pengarah Bahagian Latihan MARA sebagai individu terpenting dalam mencetus idea dan penubuhan MRSM.

“Sesungguhnya jasa dan sumbangan Allahyarham dalam membuka jalan pendidikan serta membina masa depan anak bangsa akan terus terpahat dan dikenang. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran Facebook.


Sumber:BERNAMA
Intipati
  • Pengasas MRSM, Abdul Wahab Alwi, 84, meninggal dunia pada 3 pagi tadi.
  • ANSARA menyifatkan pemergian beliau sebagai kehilangan tokoh pendidikan berjasa kepada generasi anak Malaysia.
  • Jenazah disolatkan di Denai Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan