Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bedah Siasat Sahkan Irene Sofiya Maut Akibat Trauma Tumpul Di Kepala

IRENE
Gambar: Media sosial

Hasil bedah siasat terhadap mayat pelajar, Irene Sofiya Mohd Khairol Faisal, 16, mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat trauma tumpul di kepala.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar berkata, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, Johor.

Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Setakat ini pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dalam siasatan kes.

“PDRM turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen cover-up atau melindungi mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kumar berkata, jika disabitkan kesalahan mengikut peruntukan berkenaan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun.

Jelasnya, jika hukuman mati tidak dijatuhkan, pesalah juga boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Remaja 16 Tahun Direman Enam Hari

Terdahulu, Irene Sofiya ditemukan dalam keadaan berlumuran darah sebelum menghembuskan nafas terakhir selepas dipercayai dibunuh di dalam dewan sebuah sekolah di kawasan Yong Peng pada 3 Oktober lalu.

Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan pada hari sama dan kini direman selama enam hari sehingga 9 Oktober bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Kumar mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan ulasan berhubung insiden berkenaan, sama ada secara lisan mahupun menerusi media sosial, yang boleh mengganggu proses siasatan.

Ujarnya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang sengaja memanipulasi fakta atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan, kegentaran dan kegusaran awam.

PDRM turut menegaskan siasatan kes berkenaan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional bagi memastikan semua aspek kejadian diteliti.