Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bekas Pengetua, Kakitangan Sekolah Ditahan SPRM Bantu Siasatan Salah Guna Kuasa

sprm tahan bekas pengetua salah guna kuasa
Kredit: BERNAMA

Bekas Pengetua, Kakitangan Sekolah Ditahan SPRM Bantu Siasatan Salah Guna Kuasa

JOHOR BAHRU (Bernama) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang bekas pengetua dan seorang kakitangan sebuah sekolah di negeri ini, pagi semalam, bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa.

Menurut sumber, bekas pengetua berusia 60 tahun dan kakitangan berusia 41 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Kluang antara pukul 11 dan 11.30 pagi semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada tahun 2015 sehingga tahun lepas, kakitangan berkenaan telah menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan di sekolah itu kepada syarikat miliknya sendiri.

Pada masa yang sama, bekas pengetua sekolah itu juga dikatakan dengan niat bersama meluluskan kerja-kerja berkenaan kepada syarikat itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias mengesahkan penahanan dan menyatakan kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Kedua-dua individu itu kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya ketika dihubungi semalam.

Salah guna kuasa dalam kalangan pihak berkuasa tempatan

Isu salah guna kuasa tidak hanya melibatkan institusi pendidikan, malah ia juga turut merebak dalam kalangan kakitangan kerajaan termasuklah pihak berkuasa tempatan.

Imbas kembali laporan Bernama pada 9 Ogos 2020 lalu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk anggotanya jika berlaku salah guna kuasa atau isu berkaitan integriti.

Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohd Rashidi Ruslan ketika itu berkata tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan MBSA sekiranya didapati melakukan aktiviti yang menyalahi peraturan dan undang-undang.

“Kita tegaskan tidak pernah berkompromi dan mana-mana premis perniagaan yang menyalahi undang-undang, kita akan ambil tindakan terhadapnya.

“Jika dakwaan yang menyatakan (ada) anggota pilih kasih (dalam menguatkuasakan undang-undang), tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya siasatan mendapati dakwaan tersebut benar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Larangan Meminum Arak dan Menghisap Rokok di Taman Awam peringkat negeri Selangor ketika itu.

Sumber: BERNAMA

BACA: SPRM Tahan Guru Besar Wanita Kerana Salah Guna Kedudukan