Pandemik COVID-19 sememangnya memberikan impak yang besar terhadap individu, masyarakat dan negara. Antaranya ialah terdapat juga yang hilang pekerjaan dan pendapatan. Ianya juga merupakan detik sukar terutamanya yang sudah berkeluarga. Pun begitu, disebalik kesusahan yang dialami oleh sesetengah golongan, masih juga terdapat golongan yang masih selesa walaupun pandemik COVID-19 melanda dunia.
Menyedari nasib rakyat yang sedang bergelut dengan situasi kewangan yang membimbangkan ekoran impak pandemik COVID-19, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan Malaysia telah menyusun pelbagai usaha membantu golongan-golongan terjejas.

Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu memperlihatkan perbelanjaan besar bakal digunakan iaitu sebanyak RM322.5 bilion. Selain memberi penekanan terhadap usaha menangani pandemik COVID-19, kebajikan rakyat juga dilihat dipelihara dengan pelbagai bantuan dan inisiatif yang diberikan oleh kerajaan.
Bantuan Prihatin Rakyat (BPR)
Antara yang dapat dilihat adalah seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang bakal menelan belanja sekitar RM6.5 bilion. Bukan sahaja golongan yang sudah berkeluarga akan menikmati inisiatif ini, namun golongan bujang juga akan mendapat RM350 dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM2500.
Tidak terkecuali menerima manfaat ini, golongan M40 juga turut diberikan perhatian oleh kerajaan. Kadar bantuan dan kategori pendapatan yang layak menikmati manfaat ini adalah seperti berikut:

Pengeluaran Akaun 1 KWSP
Selain daripada BPR, rakyat yang terjejas juga akan dapat menikmati pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khusus kepada yang hilang pekerjaan.
Pengeluaran secara bersasar ini membolehkan pencarum mengeluarkan sebanyak RM500 setiap bulan sehingga jumlah RM6000 dalam tempoh 12 bulan sahaja. Dengan inisiatif ini, ianya dilihat dapat membantu meringankan beban golongan yang terjejas terutamanya yang hilang pekerjaan.

Walaupun diakui sukar untuk membuat keputusan tersebut ekoran ianya merupakan simpanan untuk kegunaan selepas bersara, namun situasi genting yang dialami rakyat pada ketika ini sangat membimbangkan. Oleh itu, pengeluaran dari akaun 1 KWSP dilihat dapat menjaga kebajikan rakyat.
Bantuan Kepada Petani, Peladang dan Nelayan
Kerajaan juga turut meningkatkan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM150 juta kepada RM300 juta. Selain itu, subsidi harga padi berjumlah RM570 juta, subsidi dan insentif tanaman pada berjumlah RM960 juta dan juga subsidi baja padi bukit yang diperkenalkan semula berjumlah RM40 juta turut dibentangkan dalam Belanjawan 2021 beberapa hari yang lepas.

Bantuan berikut juga bertujuan untuk meringankan beban petani dan peladang disamping menjaga kebajikan mereka sebagai rakyat. Pun begitu, golongan nelayan juga tidak terlepas daripada menerima manfaat daripada Belanjawan 2021, iaitu bakal menerima elaun sara hidup nelayan yang dinaikkan dari RM250 kepada RM300 sebulan.

Berita baik juga kepada peneroka FELDA, Belanjawan 2021 juga memperuntukkan sehingga RM400 juta dalam inisiatif menghapuskan faedah hutan kebun bagi peneroka.
Bantuan Pembayaran Secara Sasaran
Seperti yang menjadi tumpuan ramai, bantuan pembayaran balik pinjaman atau lebih dikenali sebagai moratorium turut diberi penekanan dalam Belanjawan 2021. Bantuan Pembayaran Sasaran turut ditambah baik dengan menawarkan dua opsyen kepada peminjam kategori B40 dan perusahan mikro yang meilbatkan pinjaman tidak melebihi RM150 ribu.
Bagi pilihan yang pertama, peminjam boleh menangguhkan ansuran bulan selama 3 bulan ataupun menikmati pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama 6 bulan. Tidak dilupakan juga, golongan M40 turut menikmati manfaat ini kerana proses permohonan bantuan bayaran balik pinjaman akan dipermudahkan. Namun, peminjam perlu membuat pengisytiharaan kendiri (self-declaration).

Penambahbaikan Bantuan Kewangan
Kerajaan juga memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion untuk penambahbaikan bantuan kewangan bagi memelihara kebajikan golongan rentan.
Antaranya ialah Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin dinaikkan daripada (RM100, 1 anak, maksimum RM450 sekeluarga) kepada (RM150, 1 anak berumur 7 tahun – 18 tahun atau RM200, 1 anak berumur <6 tahun dengan maksimum RM1,000 sekeluarga).
Selain itu, golongan OKU juga turut menerima manfaat Belanjawan 2021 seperti Elaun Pekerja OKU Dinaikkan kepada RM450 dan juga Kadar Bantuan Warga Emas dan Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar dinaikkan kepada RM500.

Pelbagai inisiatif dan manfaat yang diberikan oleh kerajaan meliputi pelbagai golongan dilihat dapat menjaga kebajikan rakyat terutamanya yang terjejas. Pandemik COVID-19 sememangnya memberikan impak yang besar kepada pendapatan sesetengah golongan yang turut menjejaskan kehidupan normal mereka.
Kini, dengan Belanjawan 2021 yang diperuntukkan untuk rakyat Malaysia, diharapkan bagi meringankan beban golongan-golongan terjejas.
Dengan pelbagai inisiatif yang diberikan, rakyat juga boleh menggunakan bantuan tersebut sebagai suntikan modal untuk memulakan perniagaan dan secara tidak langsung dapat mengubah kehidupan sekeluarga.