Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Belanjawan 2027: Amalan Baik Peraturan Pemangkin Malaysia Ke Arah 12 Teratas Daya Saing Dunia

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyambut baik Belanjawan MADANI Kelima 2027 yang terus memberi komitmen untuk mempermudah urusan perniagaan, merungkai kerenah birokrasi dan memperkukuh tadbir urus, yang menjadi asas kepada daya saing negara.

Malaysia melonjak ke tangga ke-15 dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026, iaitu pencapaian terbaik negara dalam tempoh sedekad dan semakin menghampiri aspirasi kelompok 12 terbaik dunia.

Bagi mengekalkan momentum ini, Belanjawan 2027 memperuntukkan hampir RM25 juta melalui Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) untuk mempercepat urusan Kerajaan dengan rakyat dan perniagaan. Kerajaan juga terus memperkukuh pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan merentas kementerian dan agensi.

Langkah lain termasuk tempoh sasaran lima hari bekerja bagi permohonan Pas Penggajian syarikat tersenarai berstatus Malaysian ASEAN Business Entity (MyABE); kebenaran bekerja, tertakluk kepada syarat, bagi pasangan ekspatriat pemegang Pas Penggajian Kategori I yang memegang Pas Tanggungan; pelesenan fasiliti kesihatan swasta sepenuhnya dalam talian melalui portal e-CKAPS dengan sasaran pengurangan tempoh pemprosesan sehingga 65 peratus; dan kajian penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia bagi mengenal pasti undang-undang lapuk dan jurang perundangan.

Tinjauan Ekonomi 2027 turut menekankan bahawa penilaian oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Bank Dunia menunjukkan cabaran berterusan dalam menzahirkan pelaburan yang diluluskan kepada pelaksanaan projek di lapangan, termasuk dari aspek kawal selia. Bagi menangani perkara ini, Kerajaan akan mengurangkan kerenah birokrasi melalui peluasan GovTech, termasuk integrasi data merentas agensi dan perkhidmatan digital dari hujung ke hujung.

Ketua Pengarah MPC, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam berkata, peraturan yang berkualiti ialah penentu kepada prestasi daya saing sesebuah negara.

“Lonjakan ke tangga ke-15 IMD membuktikan reformasi sedang membuahkan hasil. Namun untuk menembusi kelompok 12 teratas, setiap peraturan, sama ada baharu atau sedia ada, mesti mencapai objektif dasarnya dengan kos pematuhan yang paling rendah,” katanya.

“Amalan Baik Peraturan bukan sekadar mengurangkan kerenah. Ia membina keyakinan peniaga dan pelabur, mempercepat realisasi pelaburan dan membuka ruang untuk PMKS berkembang,” tambah beliau.

Sebagai peneraju Amalan Baik Peraturan (GRP), sekretariat PEMUDAH dan institusi rakan IMD di Malaysia, MPC komited:

  1. Memperkukuh pelaksanaan GRP dan Analisis Impak Peraturan (RIA) merentas kementerian dan agensi, termasuk semakan berkala ke atas peraturan sedia ada;

  2. Menyokong Pasukan STAR dan pelaksanaan Akta Iltizam melalui inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), termasuk mengukur dan melaporkan penjimatan kos pematuhan perniagaan secara berkala;

  3. Bersama PEMUDAH, menumpukan penyelesaian halangan kawal selia bagi mempercepat pengoperasian perniagaan dan realisasi pelaburan yang telah diluluskan;

  4. Memacu reformasi pelesenan ke arah pendekatan berasaskan risiko dan proses digital sepenuhnya; dan

  5. Menyumbang kepakaran semakan peraturan bagi menyokong usaha mengenal pasti undang-undang dan peraturan lapuk.

MPC komited bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan persekitaran kawal selia negara kekal tangkas, telus dan mesra perniagaan, sejajar dengan Kerangka Ekonomi MADANI.

Intipati
  • MPC menyambut baik Belanjawan 2027 yang menumpukan pemudahcaraan perniagaan dan tadbir urus.
  • Malaysia melonjak ke tangga ke-15 IMD, pencapaian terbaik negara dalam tempoh sedekad.
  • Belanjawan memperuntukkan hampir RM25 juta melalui STAR untuk mempercepat urusan kerajaan dengan rakyat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan