Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Beli Minyak Masak Paket Guna MyKad Dijangka Hujung Tahun Ini

Minyak Masak Paket Guna MyKad
Kredit: Bernama

Beli Minyak Masak Paket Guna MyKad Dijangka Hujung Tahun Ini

Kerajaan menyasarkan pelaksanaan pembelian minyak masak paket bersubsidi menggunakan kad pengenalan (MyKad) dapat dikuatkuasakan pada akhir tahun ini melalui integrasi terminal MyKasih, lapor RTM.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.

Menurutnya, pelaksanaan ini sedang melalui proses integrasi sistem antara pangkalan data sedia ada dengan terminal MyKasih yang dijangka ditempatkan di kedai runcit seluruh negara.

"Kita unjurkan sistem itu bersedia menjelang hujung tahun ini. Ketika ini data pembelian masih dikumpulkan melalui aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dan kerajaan sedang dalam proses integrasi dengan Kementerian Kewangan.

"Apabila proses itu siap dan terminal MyKasih berada di kedai runcit di seluruh negara, penggunaan MyKad untuk pembelian minyak masak paket bersubsidi akan dilaksanakan," katanya selepas Program Edaran Bubur Lambuk dan Insentif CSR Econsave semalam.

Pembelian minyak masak paket bersubsidi ketika ini menggunakan kod QR melalui sistem berkenaan.

"Pada ketika ini, kita menggunakan kod QR untuk rakyat Malaysia membeli minyak masak paket. Mereka perlu mengimbas kod tersebut bersama rakan strategi kementerian.

"Langkah ini diambil selepas kerajaan mewartakan bahawa warga asing tidak dibenarkan membeli minyak masak paket bersubsidi," katanya.

Bermula Januari 2024 hingga Februari 2026,  sekitar 951 kes ketirisan minyak masak paket direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM4.5 juta sejak sistem pemantauan diperkenalkan.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata warga asing dilarang membeli minyak masak bersubsidi.

Pelaksanaan itu berkuat kuasa 1 Mac, di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, dengan punca kuasa Akta Kawalan Bekalan 1961

Sumber:Berita RTM