Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Berada Di Tempat Ke-23, Malaysia Mendahului Asia Tenggara Dalam Tarikan Pelaburan Global
Ekonomi di Asia Tenggara terus mencatat pertumbuhan positif yang terkawal walaupun berdepan cabaran ekonomi global, sekali gus kembali menarik minat pelabur antarabangsa, menurut laporan Indeks Peluang Global (Global Opportunity Index, GOI) 2026 oleh Milken Institute.
Menurut laporan berkenaan, enam pasaran pertumbuhan di Asia Tenggara telah menyumbang 8.2 peratus daripada jumlah aliran modal ke ekonomi sedang membangun bagi tempoh 2021 hingga 2024.
Malah, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang lebih 70 peratus daripada jumlah aliran masuk, menunjukkan rantau ini semakin menjadi tumpuan pelabur global.
Dalam kalangan negara serantau, Malaysia terus mencatat prestasi cemerlang dengan skor tinggi dalam hampir semua kategori penilaian GOI.
Malaysia muncul sebagai negara dengan kedudukan tertinggi di rantau ini dan berada di tangga ke-23 di peringkat global, disokong oleh institusi yang kukuh serta asas ekonomi yang utuh.
Selain itu, Malaysia turut berada di kedudukan ke-17 dunia bagi sektor Perkhidmatan Kewangan, serta di tangga ke-18 bagi Persepsi Perniagaan global, menurut laporan berkenaan.
Vietnam pula berada di kedudukan kedua di rantau ini dan ke-39 di peringkat global, dengan menduduki tempat kedua dalam Prestasi Ekonomi serta ke-14 dalam Saiz dan Keadaan Kewangan, mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta perkembangan sektor kewangan yang pesat.
Sementara itu, Indonesia yang merupakan ekonomi terbesar di rantau ini mencatat lonjakan ketara dalam sektor Perkhidmatan Kewangan apabila meningkat daripada kedudukan ke-78 dunia pada 2022 kepada ke-38.
Peningkatan itu turut didorong oleh perluasan akses kewangan yang kini berada di tangga ke-28.
Manakala Filipina menggabungkan prospek pertumbuhan yang kukuh dengan unjuran KDNK sebanyak 5.7 peratus pada 2026, namun masih berdepan keadaan pelaburan yang tidak seimbang.
Negara itu mencatat prestasi baik dalam Prestasi Ekonomi (kedudukan ke-6), namun ketinggalan dalam Persepsi Perniagaan (ke-56) dan Kerangka Institusi (ke-59) di peringkat global, sekali gus menonjolkan cabaran tadbir urus dan kawal selia yang berpotensi mengekang prospek pelaburan jangka panjang negara berkenaan.
Selain itu, negara-negara seperti Kemboja dan Laos masih ketinggalan akibat kelemahan institusi yang menjejaskan iklim pelaburan mereka.
Laporan Opportunity Index 2026 menilai daya tarikan pelaburan ekonomi sedang pesat membangun berdasarkan 101 indikator merangkumi lima aspek utama.
Antaranya ialah Persepsi Perniagaan, Asas Ekonomi, Perkhidmatan Kewangan, Rangka Kerja Institusi dan Piawaian & Dasar Antarabangsa.
Menurut laporan itu lagi, Asia Tenggara kekal sebagai destinasi pelaburan utama, namun pelabur kini lebih berhati-hati dalam memilih pasaran.
Difahamkan, negara yang stabil dari segi ekonomi, kukuh sistem kewangan dan baik tadbir urus dijangka terus menjadi pilihan utama pelabur global.
“Kisah pertumbuhan Asia Tenggara masih menarik, tetapi pelabur semakin selektif. Kita melihat peralihan berterusan dalam modal global ke arah pasaran baru muncul yang bertumbuh tinggi, dan Asia Tenggara merupakan penerima manfaat utama trend itu,” kata Matthew Aleshi, pengarah Geo-Ekonomi di Institut Milken dan salah seorang penulis laporan itu.
Menurutnya, negara-negara yang dapat mengekalkan kestabilan makroekonomi sambil memperdalam sistem kewangan mereka dan memperkukuh tadbir urus akan berada pada kedudukan terbaik untuk menarik pelaburan jangka panjang.