Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bertahun Menanti Zuriat, Pasangan Kini Bertarung Demi Pertahan Anak Angkat
Impian sepasang suami isteri untuk membina sebuah keluarga akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka berjaya mengambil seorang bayi lelaki sebagai anak angkat selepas bertahun-tahun menunggu.
Namun, kebahagiaan itu kini bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka diberitahu bahawa anak yang dibesarkan dengan penuh kasih itu dipercayai adalah mangsa sindiket pemerdagangan bayi dari Indonesia ke Singapura.

Lebih menyayat hati, mereka kini berdepan kemungkinan kehilangan anak yang dianggap darah daging sendiri jika pihak berkuasa memutuskan bayi tersebut perlu dipulangkan kepada keluarga kandungnya di Indonesia.
Pasangan yang menggunakan nama samaran David dan Ally itu mendedahkan mereka mengambil anak angkat selepas beberapa kali mengalami keguguran.
Mereka pada mulanya berharap dapat mengambil anak angkat warga Singapura. Namun, tempoh menunggu terlalu lama sehingga mereka berada di kedudukan ke-142 dalam senarai menunggu sebuah agensi berkaitan.
Akhirnya, mereka memilih sebuah agensi tempatan yang menguruskan pengambilan bayi dari Indonesia.
Hanya melalui panggilan video pertama, mereka terus jatuh hati kepada bayi lelaki yang kemudian diberi nama Marcus.
"Bagi saya, ia cinta pandang pertama," kata David.
Mereka membayar puluhan ribu dolar Singapura. Kos itu dimaklumkan meliputi yuran agensi, kos guaman, perbelanjaan bayi serta sejumlah wang saguhati kepada ibu bapa kandung.
Tidak lama kemudian, Marcus dibawa ke Singapura dan diserahkan kepada mereka.
"Ketika dia berada dalam pelukan kami, kami berasa gementar, takut tetapi sangat gembira. Kami saling berpandangan dan berkata, inilah saatnya," ujar pasangan itu.
Segalanya berubah apabila pasangan itu menghadiri temu janji bersama pihak imigresen bagi urusan permohonan kewarganegaraan Marcus.
Mereka menyangka permohonan itu akan diluluskan.
Sebaliknya, mereka dimaklumkan bahawa proses tersebut digantung kerana Marcus dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
"Itulah saat saya benar-benar hancur," kata David.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana perkara itu boleh terlepas daripada pemeriksaan pihak berkuasa sedangkan mereka sendiri telah melalui proses penilaian yang ketat sebelum dibenarkan mengambil anak angkat.
"Kami mematuhi semua prosedur kerana percaya kerajaan telah melakukan semakan sewajarnya. Tetapi mereka sendiri tidak dapat memberikan jawapan," katanya.
Kes itu membabitkan sekurang-kurangnya 20 bayi yang didakwa dibeli secara haram di Indonesia sebelum dibawa ke Singapura untuk dijadikan anak angkat.
Seramai 19 individu kini dibicarakan di Jawa Barat atas pertuduhan pemerdagangan manusia.

Pendakwa raya mendakwa seorang wanita menjadi dalang utama sindiket berkenaan.
Wanita itu didakwa memperoleh bayi melalui rangkaian ejen yang mencari ibu bapa sanggup menyerahkan anak mereka, selain memalsukan sijil kelahiran dan dokumen pengangkatan supaya proses itu kelihatan sah.
Dalam beberapa kes, individu lain turut menyamar sebagai ibu bapa kandung ketika berurusan dengan bakal keluarga angkat.
Pendakwa raya turut mendedahkan sekurang-kurangnya 12 daripada 20 bayi terbabit telah memasuki Singapura.
Siasatan turut mendedahkan sebahagian ibu bapa menyerahkan bayi mereka kerana tekanan hidup dan kemiskinan.
Seorang saksi memberitahu mahkamah dia terpaksa menyerahkan bayi kelimanya selepas kehilangan pekerjaan dan tidak mampu menanggung kos kelahiran isterinya.
Dia menerima wang sebanyak lima juta rupiah bagi membantu perbelanjaan keluarganya.
Kes itu akhirnya terbongkar selepas lelaki berkenaan membuat laporan polis apabila bayaran yang dijanjikan tidak diselesaikan.
Siasatan terhadap telefon suspek kemudian membawa kepada penemuan rangkaian pemerdagangan bayi yang lebih besar.
Sehingga kini, Singapura dan Indonesia masih belum memutuskan sama ada bayi-bayi yang dipercayai menjadi mangsa sindiket itu akan terus tinggal bersama keluarga angkat atau dipulangkan kepada keluarga kandung.
Pakar psikologi kanak-kanak memberi amaran bahawa memisahkan kanak-kanak daripada keluarga yang telah membesarkan mereka selama bertahun-tahun boleh memberi kesan besar terhadap perkembangan emosi, mental dan psikologi.
Walaupun berdepan ketidakpastian, David dan Ally bertekad untuk terus memperjuangkan hak menjaga Marcus.
"Kami akan melakukan apa sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang untuk mempertahankan anak kami.
"Kalau Marcus perlu pulang ke Indonesia sekalipun, saya akan mencari jalan untuk mengambilnya sebagai anak angkat secara sah.
"Saya tidak akan berputus asa. Mana-mana ibu bapa akan berjuang sehingga ke penghujung demi anak mereka," kata David.