Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

BINGKAS 3.0 Selangor Dibuka! Ini Cara Mohon Bantuan RM300 Sebulan

BINGKAS 3.0 Selangor Dibuka! Ini Cara Mohon Bantuan RM300 Sebulan
Gambar AI

Kos sara hidup yang semakin meningkat pastinya memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan setiap isi rumah. Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai anak dan perlu menyediakan pelbagai keperluan harian serta persekolahan.

Sehubungan itu, pelbagai inisiatif bantuan terus diperkenalkan bagi membantu golongan yang memerlukan termasuk menerusi program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).

Kini, permohonan BINGKAS 3.0 bagi Kategori Tanggungan Kanak-Kanak telah dibuka mulai 10 November 2026. Keluarga yang layak berpeluang menerima bantuan RM300 sebulan selama 12 bulan, bersamaan RM3,600 setahun.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi aplikasi SELANGKAH. Berikut kami kogsikan syarat kelayakan, senarai dokumen dan cara memohon yang perlu diketahui.

Apa itu bantuan BINGKAS?

Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor atau BINGKAS merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor yang diperkenalkan bagi membantu keluarga berpendapatan rendah memenuhi keperluan asas isi rumah.

Melalui program ini, bantuan kewangan diberikan secara bulanan dalam bentuk kredit e-Wallet yang boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan seperti makanan ruji, barangan harian, kelengkapan pendidikan dan produk kesihatan di premis perniagaan yang berdaftar.

Pelaksanaan BINGKAS 3.0 diteruskan dengan kadar bantuan RM300 sebulan namun terdapat perubahan dari segi tempoh penerimaan manfaat.

Jika sebelum ini penerima BINGKAS 2.0 menikmati bantuan selama 24 bulan, tempoh manfaat bagi pelaksanaan BINGKAS 3.0 kini diselaraskan kepada 12 bulan.

Penyelarasan tersebut membolehkan proses semakan dan pembaharuan kelayakan dibuat setiap tahun supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih bersasar kepada keluarga yang memerlukan.

Kredit : FB Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

Tarikh permohonan

Bagi kategori tanggungan kanak-kanak, permohonan BINGKAS 3.0 mula dibuka mengikut ketetapan berikut:

  • Tarikh buka: 10 November 2026

  • Masa: 10.00 pagi

  • Kaedah permohonan: Dalam talian menerusi aplikasi SELANGKAH

  • Kategori: Tanggungan Kanak-Kanak

Permohonan boleh dilakukan melalui aplikasi SELANGKAH seperti yang ditetapkan oleh pihak pengurusan program.

Orang ramai yang berminat boleh mula menyemak kelayakan masing-masing dan menyediakan dokumen sokongan bagi memudahkan urusan permohonan.

Siapa yang layak memohon BINGKAS 3.0?

Untuk makluman, bukan semua keluarga secara automatik layak menerima bantuan ini kerana terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi.

Berdasarkan syarat kelayakan yang ditetapkan bagi Kategori Tanggungan Kanak-Kanak, pemohon mestilah memenuhi semua kriteria berikut:

  1. Warganegara Malaysia – Pemohon mestilah mempunyai taraf kewarganegaraan Malaysia.

  2. Pemilih berdaftar di Selangor – Pemohon perlu berdaftar sebagai pemilih di negeri Selangor.

  3. Pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah – Jumlah pendapatan bulanan isi rumah tidak boleh melebihi RM5,000.

  4. Tidak pernah menerima bantuan KISS – Pemohon tidak pernah menerima Bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

  5. Mempunyai sekurang-kurangnya dua orang anak – Pemohon perlu mempunyai minimum dua orang anak yang berusia 18 tahun dan ke bawah.

Pemohon disarankan menyemak setiap kriteria tersebut terlebih dahulu sebelum meneruskan permohonan bagi mengelakkan permohonan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Cara mohon BINGKAS 3.0 melalui aplikasi SELANGKAH

Bagi yang memenuhi syarat kelayakan, permohonan boleh dilakukan secara dalam talian melalui aplikasi SELANGKAH.

Berikut merupakan panduan umum untuk membuat permohonan:

  1. Muat turun aplikasi SELANGKAH atau layari portal SELANGKAH.

  2. Daftar atau log masuk menggunakan akaun SELANGKAH.

  3. Pilih menu BINGKAS pada aplikasi berkenaan.

  4. Tekan butang 'Mohon Sekarang' untuk memulakan permohonan.

  5. Lengkapkan semua maklumat yang diminta dalam borang permohonan.

  6. Muat naik dokumen sokongan mengikut senarai yang ditetapkan.

  7. Baca dan lengkapkan persetujuan berkaitan perlindungan data sebelum menghantar permohonan.

Selepas semua langkah selesai, pemohon boleh menghantar permohonan untuk proses semakan pihak pengurusan BINGKAS.

Pastikan maklumat yang diberikan adalah tepat dan dokumen yang dimuat naik jelas serta mudah dibaca bagi membantu melancarkan proses penilaian.

Senarai dokumen yang diperlukan untuk permohonan

Selain melengkapkan borang permohonan, pemohon juga perlu menyediakan beberapa dokumen sokongan sebagai bukti maklumat yang diberikan.

Antara dokumen yang perlu disediakan ialah:

  1. Salinan Kad Pengenalan: MyKad pemohon dan/atau pasangan. Pastikan salinan bahagian hadapan dan belakang disertakan.

  2. Bukti pendapatan: Slip gaji atau penyata pencen terkini bagi penjawat awam dan pesara.

  3. Dokumen pengenalan anak dan tanggungan: Salinan MyKad, MyKid atau sijil kelahiran anak. Dokumen lain seperti sijil anak angkat, kad OKU atau surat hak jagaan anak turut disertakan jika berkaitan.

  4. Penyata EA atau KWSP: Dokumen berkaitan pendapatan bagi pemohon yang bekerja dalam sektor swasta.

  5. Dokumen status ibu atau bapa tunggal: Salinan sijil kematian, sijil perceraian atau laporan polis, mengikut keadaan pemohon.

  6. Pengesahan pendapatan: Pemohon yang bekerja sendiri atau tidak bekerja perlu mendapatkan pengesahan penyata pendapatan daripada Ketua Komuniti seperti ADUN, Penghulu, Ahli Majlis atau Ketua Kampung.

  7. Bukti pendaftaran pemilih: Cetakan penuh halaman semakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai bukti pemohon berdaftar sebagai pemilih di Selangor.

Pastikan setiap dokumen yang diperlukan disediakan dalam format yang diterima oleh sistem permohonan. Berdasarkan panduan rasmi, dokumen boleh dimuat naik dalam format PDF, JPG atau PNG dengan saiz maksimum 5MB bagi setiap dokumen.

Berapa jumlah bantuan BINGKAS 3.0 yang diterima?

Bagi keluarga yang berjaya dalam permohonan, kadar bantuan yang ditawarkan adalah sebanyak RM300 setiap bulan selama satu tahun.

Ini bermakna penerima boleh menikmati jumlah bantuan keseluruhan sebanyak RM3,600 bagi tempoh 12 bulan.

Walau bagaimanapun, bantuan ini tidak diberikan dalam bentuk wang tunai yang boleh dikeluarkan atau dipindahkan ke akaun bank.

Bantuan BINGKAS 3.0 tidak diberikan dalam bentuk wang tunai yang boleh dikeluarkan atau dipindahkan ke akaun bank. Sebaliknya, kredit RM300 akan dimasukkan ke dalam BINGKAS Wallet menerusi aplikasi SELANGKAH untuk membolehkan penerima membeli barangan keperluan di kedai dan pasar raya rakan niaga yang berdaftar.

Selain pembayaran menggunakan e-Wallet, penerima juga boleh menikmati kemudahan transaksi menggunakan MyKad di premis terpilih yang menyediakan sistem pembayaran tersebut.

Bagi mengetahui lokasi premis yang mengambil bahagian dalam program ini, penerima boleh menyemak senarai kedai rakan niaga BINGKAS melalui pautan berikut:

Senarai kedai rakan niaga BINGKAS: https://bingkasselangor.com/#kedai

Namun, perlu diingatkan bahawa kemudahan pembayaran menggunakan MyKad hanya tersedia di kedai tertentu. Oleh itu, semak kaedah pembayaran yang disediakan oleh premis berkenaan sebelum membuat pembelian.

Kredit RM300 yang diberikan juga perlu digunakan dalam bulan berkenaan. Sebarang baki yang tidak dibelanjakan tidak akan dibawa ke bulan berikutnya.

Justeru, penerima disarankan merancang pembelian barangan keperluan keluarga supaya kredit bulanan yang diterima dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Diharapkan pelaksanaan BINGKAS 3.0 dapat membantu lebih ramai keluarga yang memerlukan khususnya dalam menguruskan perbelanjaan harian dan menyediakan keperluan anak-anak.

Kepada keluarga di Selangor yang memenuhi semua syarat ditetapkan, jangan lepaskan peluang untuk menyemak kelayakan dan mengemukakan permohonan bagi menikmati bantuan RM300 sebulan ini.

Intipati
  • Permohonan BINGKAS 3.0 kategori tanggungan kanak-kanak dibuka mulai 10 November 2026.
  • Bantuan RM300 sebulan diberikan selama 12 bulan melalui BINGKAS Wallet dalam SELANGKAH.
  • Pemohon perlu berpendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah dan mempunyai dua anak.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan