Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kemenangan dramatik Argentina ke atas England pada aksi separuh akhir Piala Dunia awal pagi tadi mencetuskan sambutan luar biasa apabila ratusan ribu penyokong membanjiri jalan-jalan utama di Buenos Aires sejurus wisel penamat dibunyikan.
Menurut laporan Buenos Aires Times, jaringan kemenangan Lautaro Martínez pada minit ke-92 bukan sahaja mengesahkan kemenangan 2-1 Argentina, malah mencetuskan suasana penuh emosi di ibu negara itu apabila penyokong meraikan kejayaan menewaskan musuh tradisi mereka.
Sejurus tamat perlawanan, ribuan penyokong memenuhi kawasan sekitar Obelisk, mercu tanda ikonik Buenos Aires, sambil mengibarkan bendera kebangsaan serta menyanyikan lagu-lagu sokongan kepada skuad La Albiceleste.
Sorakan dan bunyi hon bergema di seluruh bandar, manakala bunga api turut memeriahkan sambutan yang berlangsung hingga lewat malam.
Perlawanan itu membawa makna yang cukup besar buat rakyat Argentina memandangkan hubungan sejarah kedua-dua negara, khususnya selepas Perang Falklands atau Kepulauan Malvinas pada 1982.
Empat tahun selepas konflik tersebut, legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona, pernah mencipta sejarah apabila menyingkirkan England pada Piala Dunia 1986 menerusi dua gol ikonik iaitu 'Hand of God' dan 'Goal of the Century'.
Seorang penyokong, Fabián Sidotti, 37, berkata kemenangan itu sekali lagi membuktikan semangat juang Argentina yang tidak pernah mengalah sehingga wisel penamat.
“Setiap perlawanan sama buat kami. Kami terus berjuang hingga saat akhir dan akhirnya menang.
“Apa sahaja boleh berlaku sehingga minit terakhir. Teruskan memberi sokongan apabila kami menentang Sepanyol nanti,” katanya.
Dalam pada itu, penyokong turut melaungkan slogan seperti "Untuk Malvinas, untuk Diego, untuk Leo", sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai penghormatan kepada sejarah negara dan Lionel Messi yang dipercayai sedang mengharungi kempen Piala Dunia terakhirnya.
Seorang lagi penyokong, Rogelio Díaz, 30, berkata beliau yakin Argentina mampu menewaskan Sepanyol pada aksi final nanti.
“Perlawanan ini sangat menakjubkan. Saya benar-benar gembira.
“Saya yakin kami mampu menewaskan Sepanyol. Memang setiap perlawanan membuatkan kami berdebar, tetapi kami layak meraih satu lagi kejuaraan Piala Dunia,” ujarnya.
Di sebuah bar di Buenos Aires, seorang wanita berusia 70 tahun dikenali sebagai Gladys menjadi perhatian apabila memegang poster Diego Maradona sepanjang perlawanan sambil memberi sokongan kepada Argentina.
Meskipun England terlebih dahulu membuka jaringan pada babak kedua, beliau tetap tenang dan yakin pasukannya akan bangkit.
“Saya tahu kami akan menang.
“Dan kami juga akan menewaskan Sepanyol,” katanya penuh yakin.
Argentina kini hanya selangkah lagi untuk mempertahankan kejuaraan dunia apabila dijadual berdepan Sepanyol pada aksi final, Ahad ini.