“Kita bukan sahaja menghantar asap. Jika tiada asap, kita menghantar oksigen. Oksigen di Singapura dan Malaysia datang daripada hutan-hutan kita,”
Demikian ucap Ketua Badan Komunikasi Pemerintah Indonesia (Bakom), Syahganda Nainggolan ketika kerajaan republik berkenaan memahami keresahan Malaysia dan Singapura berhubung asap kebakaran hutan dan tanah yang menyelubungi kedua-dua negara itu.
Menurut Ganda, kebakaran hutan dan tanah berkenaan berlaku bukan disebabkan kesilapan manusia, sebaliknya merupakan fenomena alam.
Indonesia Bukan Saja Bekal Asap, Tapi Oksigen Juga - Syahganda
“Kita juga meminta semua negara jiran memahami bahawa perkara ini berlaku di luar kawalan manusia dan benar-benar berpunca daripada faktor alam,” katanya di pejabat Lemhannas, Jakarta semalam.
Ganda berkata, hubungan Indonesia dan Malaysia ketika ini berjalan dengan sangat baik. Kerajaan juga terus berusaha menjelaskan kepada kedua-dua negara mengenai isu jerebu serta langkah menanganinya.
Beliau berkata, Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, telah menghantar wakil menerusi Menteri Luar Negeri Malaysia untuk membincangkan isu kebakaran hutan dan tanah dengan Menteri Luar Negeri Indonesia.
“Kami memperincikan perbincangan supaya dapat bersama-sama menangani kebakaran hutan dan tanah itu.
“Perkara ini baru berlaku semalam atau sehari dua lalu. Nanti saya semak lagi kerana saya masih perlu mencari maklumat,” katanya.
Terdahulu, kerajaan Malaysia berharap perbincangan teknikal dengan Indonesia mengenai operasi menangani kebakaran hutan dan tanah dapat diselesaikan segera.
Langkah itu diperlukan bagi membolehkan Malaysia menghantar pasukan untuk membantu memadamkan kebakaran yang mencetuskan jerebu rentas sempadan.
Menteri Luar Negeri Malaysia, Mohamad Hasan, berkata Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, telah bersetuju menerima tawaran bantuan daripada Malaysia.
Bagaimanapun, kedua-dua negara masih membincangkan mekanisme operasi, termasuk kaedah pelaksanaannya serta lokasi penempatan pasukan Malaysia.
Menurutnya, keadaan jerebu yang melanda Malaysia semakin membimbangkan.
“Keadaan jerebu di negara kita sudah sangat teruk. Tahapnya melepasi kategori tidak sihat dan hampir memasuki indeks berbahaya,” katanya.
Mohamad berkata, kerajaan Malaysia berharap isu teknikal antara kedua-dua negara dapat diputuskan segera supaya pasukan Malaysia boleh dihantar untuk membantu Indonesia menangani kebakaran hutan yang semakin meluas, terutama di Kalimantan.
“Saya sendiri berharap isu operasi antara kedua-dua negara dapat diselesaikan dan diputuskan segera supaya kami dapat menghantar pasukan untuk membantu rakan-rakan di Indonesia memadamkan kebakaran,” katanya.

