Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sebuah usaha penting dalam pemeliharaan warisan kulinari negeri Terengganu mencapai kemuncaknya hari ini apabila buku "Sedap Do’oh: Menjejaki Resipi Warisan Terengganu" dilancarkan secara rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
Majlis pelancaran yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) turut dihadiri oleh kerabat Diraja, wakil kementerian dan agensi kerajaan, ahli akademik, penggiat industri gastronomi dan hospitaliti, media serta para penaja dan rakan strategik.
Diterbitkan oleh RichTalents International College (RTiC), buku ini merupakan hasil hampir tiga tahun penyelidikan, dokumentasi, pembangunan resipi, fotografi makanan dan pengumpulan data yang melibatkan pensyarah, pelajar serta pakar-pakar kulinari tempatan.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif RTiC, Prof. Dato’ Chef Zam, buku tersebut bukan sekadar sebuah buku masakan tetapi merupakan dokumentasi budaya yang merakam sejarah, identiti dan cara hidup masyarakat Terengganu yang diwariskan dari satu generasi ke satu generasi.
“Warisan tidak hanya terletak pada bangunan bersejarah, manuskrip lama atau seni persembahan. Makanan juga adalah warisan budaya yang sangat penting kerana ia menceritakan sejarah, nilai dan identiti sesuatu bangsa. Apabila sesuatu resipi tradisional hilang, kita sebenarnya kehilangan sebahagian daripada sejarah kita sendiri,” katanya.
Terengganu sememangnya terkenal dengan kepelbagaian gastronominya yang unik, dipengaruhi oleh kedudukannya yang menghadap Laut China Selatan. Bahan-bahan seperti ikan segar, sotong, udang, santan, bawang merah, halia, halba dan lengkuas menjadi asas kepada pelbagai hidangan tradisional negeri tersebut.

Namun, menurut beliau, keistimewaan sebenar masakan Terengganu terletak pada kebijaksanaan masyarakat terdahulu yang berjaya menghasilkan hidangan yang kompleks dan kaya rasa menggunakan bahan serta peralatan yang sederhana.
Buku "Sedap Do’oh: Menjejaki Resipi Warisan Terengganu" turut menampilkan pelbagai resipi dan hidangan tradisional yang semakin jarang ditemui, termasuk kuih dan makanan warisan seperti Kueh Keang, Tonyoh Ubi, Nekbat, Qasidah, Urat Jati, Ba’it dan Nasi Telur yang semakin kurang dikenali oleh generasi muda.
“Fenomena ini amat membimbangkan kerana ramai dalam kalangan generasi hari ini tidak lagi mengenali makanan tradisional negeri sendiri. Justeru, usaha mendokumentasikan warisan kulinari tidak boleh lagi ditangguhkan,” tambah beliau.
Buku ini diterbitkan dalam format paperback yang lebih praktikal dan mampu milik dengan matlamat memastikan ia dapat dimiliki serta digunakan oleh masyarakat umum, termasuk suri rumah, pelajar kulinari, chef muda, penyelidik makanan dan pencinta gastronomi tempatan.

Selain mendokumentasikan resipi, projek ini turut menjadi platform pembelajaran kepada pelajar TVET Kulinari RTiC yang terlibat secara langsung dalam penyediaan hidangan, fotografi makanan dan penyelidikan sepanjang pembikinan buku tersebut.
“Bagi kami, kejayaan sebenar bukan sekadar menghasilkan sebuah buku, tetapi memastikan ilmu dan kemahiran warisan ini dapat dipindahkan kepada generasi pelapis yang akan meneruskan legasi kulinari negara,” katanya lagi.
Prof. Dato’ Chef Zam turut merakamkan penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu yang telah memberikan galakan dan sokongan terhadap projek ini sejak ia mula dicadangkan hampir tiga tahun lalu.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) atas sokongan melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK), serta kepada World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) selaku Rakan Strategik Lokasi dan Hospitaliti yang telah menyokong penganjuran majlis pelancaran ini.
Penghargaan turut dirakamkan kepada para penaja dan rakan sokongan yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan penerbitan dan pelancaran buku ini, antaranya Rasaku, Eddiey Mokku & Catering, Rempah TokMa, MekNoor Nasik Dagang, Royale Talam, Choco Albab, Mamart Food, Adia Global (M) Sdn. Bhd., WM Heart Resources, Narqes, Luxcrime, Envora, Julyme dan Kundal.

Sokongan yang diberikan mencerminkan komitmen bersama sektor makanan dan minuman, pendidikan, kecantikan, gaya hidup, hospitaliti dan media dalam memelihara serta memartabatkan warisan gastronomi Malaysia.
Sebagai sebuah dokumentasi gastronomi warisan, "Sedap Do’oh: Menjejaki Resipi Warisan Terengganu" diharapkan dapat menjadi rujukan penting dalam usaha memelihara, memartabat dan memperkenalkan khazanah kulinari Terengganu kepada generasi masa kini dan akan datang.