Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kes positif COVID-19 harian dijangka turun kepada dua angka pada akhir Mei ini.
Jelasnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua selama empat minggu berturut-turut ini telah berjaya melandaikan lekuk jangkitan.
“Kes yang paling tinggi ialah pada 29 Januari iaitu kita ada 5,725 kes. Dan hari ini kita lihat kes sudah hampir separuh dan kita jangkakan mungkin dalam bulan April kes akan berkurang kepada kurang 1,000 kes sehari.
“Dan jangkaan (serta) unjuran kita juga, kalau akhir bulan Mei insya-Allah kalau rakyat Malaysia masih patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tidak ambil mudah, kita mungkin boleh mencapai (kes) dua angka, iaitu sebagaimana yang diunjurkan,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.
Dalam pada itu, tambah Noor Hisham lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) meletakkan nisbah 1:10 dalam setiap saringan yang dijalankan.
“Satu kes positif COVID-19 kita perlukan sekurang-kurangnya 10 kes negatif sebagai nisbah saringan.
“Semalam, saringan dijalankan lebih 41,000 saringan dengan nisbah satu kes positif bagi setiap 20 kes negatif.
“Ini bermakna, kita jalankan saringan melebihi saringan yang diperlukan,” katanya lagi, memetik ciapan KKM di Twitter.
Sumber: KKM