Seremban: Susulan situasi semasa COVID-19, semua program yang melibatkan orang ramai di Negeri Sembilan, termasuk sambutan Israk Mikraj yang dijadualkan 20 Mac ini, ditangguhkan.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata keputusan menangguhkan program itu dibuat selepas mendapat pandangan pelbagai pihak dan sebagai usaha mengelak COVID-19 daripada merebak dalam komuniti di negeri tersebut.
”Hanya program tertutup melibatkan program jabatan sahaja akan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya boleh bekerjasama dengan kerajaan persekutuan yang kini ditadbir Perikatan Nasional.
”Kami tiada masalah untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, terutama yang melibatkan isu berkaitan rakyat meskipun kini kami merupakan kerajaan pembangkang,” katanya.
Sumber: Bernama
