Singapura hari ini yang melaporkan jumlah keseluruhan kes COVID-19 melebihi 3,000 memutuskan untuk mengambil langkah lebih tegas dengan mewajibkan semua orang di republik itu memakai penutup mulut dan hidung apabila keluar rumah.
Ia diumumkan Pengerusi bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura mengenai COVID-19, Lawrence Wong pada taklimat teknikal secara maya dan sidang media di sini.
“Ia berkuat kuasa serta-merta,” kata Wong yang juga Menteri Pembangunan Negara republik itu.
Dengan langkah baharu itu, Wong menegaskan orang ramai masih dinasihatkan duduk di rumah dan mengelak daripada keluar semasa langkah pemutus litar selama sebulan dilaksanakan untuk mengekang penularan COVID-19.
Wong berkata pemakaian penutup hidung dan mulut adalah langkah pencegahan penting terutama pada orang yang dijangkiti yang mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala.
Sumber: BERNAMA