Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang dimeterai antara Kerajaan MADANI, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang diharap dapat memperkukuh kestabilan politik serta memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan dengan berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persefahaman itu turut memberi ruang kepada kerajaan untuk memastikan kelangsungan pentadbiran, termasuk pelaksanaan Belanjawan 2027 demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, perbezaan pandangan dalam sistem demokrasi tidak seharusnya menghalang usaha membina masa depan negara yang lebih baik.
“CSA yang ditandatangani Kerajaan MADANI dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia serta beberapa Ahli Parlimen pembangkang hari ini bukan sahaja menjadi landasan untuk memperkukuh kestabilan politik.
“Malah memastikan kelangsungan urusan pemerintahan serta memberi ruang kepada agenda pembangunan negara, termasuk Belanjawan 2027, dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan rakyat,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.
Anwar berkata, kematangan politik menuntut semua pihak mengetepikan kepentingan politik sempit dengan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan stabil, selain mengekalkan momentum kemajuan serta memelihara kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, beliau berharap persefahaman berkenaan dapat menjadi asas kepada kerjasama konstruktif antara pihak yang terlibat meskipun mempunyai perbezaan pendirian politik.
Beliau turut berharap kerjasama itu dapat memperkukuh keyakinan terhadap proses demokrasi, sekali gus membuka ruang untuk membina Malaysia yang lebih baik untuk semua.

