Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dah Ada RM15,000 Dalam Akaun TH, Dah Cukup Bersedia Untuk Haji? Ini Penjelasan TH

HAJI
Kredit: Bernama

Ramai mungkin menyangka apabila baki simpanan dalam akaun Tabung Haji (TH) sudah mencapai RM15,000, mereka secara automatik sudah dianggap benar-benar mampu untuk menunaikan ibadah haji.

Namun, hakikatnya, istito'ah atau kemampuan menunaikan haji tidak hanya bergantung kepada jumlah wang yang ada dalam akaun.

TH menjelaskan, istito'ah perlu dilihat secara menyeluruh merangkumi kemampuan kewangan, kesihatan, fizikal, rohani serta aspek keselamatan bagi memastikan seseorang benar-benar bersedia sebelum menjadi tetamu Allah.

Jadi, apakah sebenarnya maksud istito'ah dan bagaimana bakal jemaah boleh membuat persediaan lebih awal?

Berikut beberapa perkara yang perlu diketahui berdasarkan penerangan TH melalui siaran akhbar, soalan-soalan lazim dan infografik berkaitan.

1. Ada RM15,000 bukan bermaksud sudah cukup semua aspek istito'ah

Menurut TH, RM15,000 adalah penanda aras persediaan simpanan bagi mendapatkan Kelayakan Giliran Haji Automatik, bukannya ukuran keseluruhan kemampuan seseorang untuk menunaikan haji.

Ini bermakna, mempunyai RM15,000 dalam akaun tidak semestinya seseorang itu telah memenuhi semua aspek istito'ah.

Dalam konteks persediaan haji, kemampuan perlu dilihat secara lebih menyeluruh termasuk kewangan, kesihatan, kecergasan fizikal dan rohani supaya ibadah dapat dilaksanakan dengan selamat dan sejahtera.

Mesej utama TH menerusi Seruan Istito'ah ialah persediaan haji perlu dimulakan lebih awal dan secara terancang, bukan hanya selepas menerima surat tawaran.

2. Jangan tunggu dapat tawaran haji baru nak bersedia

Antara perkara yang diberi perhatian TH ialah kecenderungan bakal jemaah memulakan persediaan hanya selepas menerima tawaran haji.

Sedangkan, tempoh menunggu giliran boleh dimanfaatkan untuk membuat persediaan secara berperingkat.

Selain simpanan, bakal jemaah juga perlu memberikan perhatian kepada tahap kesihatan dan kecergasan fizikal kerana ibadah haji melibatkan tuntutan fizikal yang tinggi.

Persediaan ilmu dan rohani juga tidak kurang penting supaya setiap ibadah dapat dilakukan dengan kefahaman dan penghayatan yang baik.

Pendek kata, jangan tunggu surat tawaran sampai baru hendak bersedia.

3. Dapat tawaran tetapi belum bersedia, perlu rasa bersalah?

Realitinya, tidak semua penerima tawaran haji dapat terus berangkat.

TH memaklumkan sebelum ini, secara purata hampir 50 peratus penerima tawaran haji terpaksa menangguhkan pemergian atas pelbagai faktor.

Keadaan itu antara perkara yang ingin ditangani menerusi Seruan Istito'ah dengan menggalakkan masyarakat membina persediaan lebih awal.

Keperluan baki minimum RM15,000 untuk menerima tawaran yang diperkenalkan pada 2025 juga membantu mengurangkan kadar penangguhan kepada 18 peratus.

Justeru, pendekatan TH adalah untuk menggalakkan bakal jemaah “bersedia sementara menunggu giliran”, bukannya menunggu tawaran dahulu sebelum membuat persiapan.

4. Macam mana nak tahu kewangan kita benar-benar bersedia?

TH menggalakkan pendeposit membuat perancangan kewangan secara teratur dan membina simpanan secara berperingkat mengikut kemampuan masing-masing.

Pendeposit juga boleh menggunakan Kalkulator Simpanan Haji TH bagi menetapkan sasaran serta mengira jumlah simpanan bulanan yang diperlukan berdasarkan tempoh yang ada.

Prinsipnya mudah, tetapkan sasaran, pecahkan kepada jumlah bulanan dan simpan secara konsisten.

5. Kalau mampu, boleh pilih untuk tanggung bayaran haji sendiri?

Boleh.

TH menjelaskan, Bantuan Kewangan Haji dan istito'ah merupakan dua perkara yang berbeza.

Sekiranya seseorang mempunyai kemampuan kewangan dan memilih untuk membayar pada kadar yang lebih tinggi, keputusan itu bergantung kepada kedudukan kewangan masing-masing.

Apa yang lebih penting ialah keputusan dibuat berdasarkan kemampuan sebenar dan tahap persediaan diri, bukan semata-mata kerana sudah mencapai baki RM15,000.

6. Terima bantuan kewangan bermaksud belum mampu?

Tidak semestinya.

Menurut TH, penerimaan Bantuan Kewangan Haji tidak boleh disamakan secara langsung dengan keseluruhan konsep istito'ah.

Ini kerana kemampuan seseorang perlu dilihat secara menyeluruh, bukan berdasarkan satu faktor sahaja.

Selain kewangan, persediaan fizikal dan rohani turut memainkan peranan dalam menentukan kesiapsiagaan bakal jemaah.

Jadi, menerima bantuan kewangan haji bukan bermaksud seseorang itu secara automatik tidak mempunyai kemampuan untuk menunaikan haji.

7. Apa kesilapan biasa ketika menyimpan untuk haji?

Antara perkara yang ingin diubah TH ialah sikap “tunggu dapat tawaran, baru nak bersedia.”

Sebaliknya, masyarakat digalakkan memulakan simpanan lebih awal walaupun jumlahnya kecil.

Tidak perlu menunggu sehingga mempunyai wang yang banyak sebelum mula menyimpan.

Apa yang lebih penting ialah konsisten dan mempunyai sasaran yang jelas.

Sebagai contoh, seseorang boleh menetapkan jumlah tertentu setiap bulan mengikut kemampuan sendiri sehingga mencapai sasaran simpanan.

8. Baru nak mula menyimpan? Ini cara lebih mudah

Jika baru hendak bermula, jangan melihat sasaran RM15,000 sebagai jumlah yang perlu dikumpulkan sekaligus.

Sebaliknya, pecahkan sasaran itu kepada simpanan bulanan.

Pendeposit boleh menggunakan Kalkulator Simpanan Haji TH untuk menentukan jumlah yang perlu disimpan berdasarkan sasaran dan tempoh yang ditetapkan.

Kemudahan seperti potongan gaji atau Direct Debit juga boleh digunakan bagi membantu membentuk tabiat menyimpan secara konsisten.

TH turut memperkenalkan Tabung Istito'ah bagi membantu pendeposit membina simpanan secara lebih sistematik dan berfokus.

9. Apa beza ‘ada duit’ dengan benar-benar mencapai istito'ah?

Mudahnya, “ada duit” hanya melihat satu aspek, manakala istito'ah melihat kesiapsiagaan secara keseluruhan.

Sebagai contoh, seseorang mungkin mempunyai RM15,000 dalam akaun, tetapi masih perlu memastikan keadaan kesihatan dan fizikalnya sesuai untuk menghadapi tuntutan ibadah haji.

Pada masa sama, ilmu berkaitan ibadah serta persediaan rohani juga perlu diberi perhatian.

Sebab itu, TH membawa mesej bahawa persediaan haji bukan sekadar “cukup duit”, tetapi perlu bersedia dari pelbagai sudut.

10. Belum cukup RM15,000? Jangan tunggu lagi

Bagi pendeposit yang masih belum mencapai RM15,000, langkah pertama adalah mula menyimpan mengikut kemampuan sendiri.

Tidak perlu menunggu mempunyai jumlah besar.

Tetapkan sasaran, tentukan jumlah yang mampu disimpan setiap bulan dan lakukan secara konsisten.

Melalui inisiatif Multi Tabung, pendeposit juga boleh mempunyai dua tabung dalam satu akaun TH iaitu Tabung Am dan Tabung Istito'ah.

Tabung Am kekal sebagai tabung utama bagi urusan simpanan dan pengeluaran seperti biasa, manakala Tabung Istito'ah boleh digunakan untuk simpanan sukarela yang lebih berfokus kepada persediaan haji.

11. Jadi, RM15,000 itu sebenarnya untuk apa?

Persoalan paling mudah ialah, “Kalau kos haji bukan RM15,000, kenapa jumlah itu penting?”

TH menjelaskan, RM15,000 merupakan penanda aras persediaan simpanan bagi Kelayakan Giliran Haji, bukannya keseluruhan kos menunaikan haji.

Kos haji semasa yang dinyatakan TH ialah RM33,300 seorang, manakala RM15,000 merupakan kadar Bayaran Haji bagi kumpulan B40.

Apabila simpanan mencapai RM15,000, pendeposit yang belum pernah menunaikan haji boleh mendapat Kelayakan Giliran Haji secara automatik, tanpa perlu membuat pendaftaran secara manual.

Namun, jumlah itu tetap bukan bermaksud semua persediaan haji telah selesai.

12. Kenapa TH mahu pendeposit mula bersedia lebih awal?

Pendekatan ini berkait rapat dengan usaha TH untuk membantu umat Islam membuat persediaan secara lebih terancang sebelum tiba giliran menunaikan haji.

Dengan kos haji yang meningkat dari semasa ke semasa, persediaan awal membolehkan pendeposit membina kemampuan secara berperingkat tanpa perlu mengumpulkan jumlah besar dalam tempoh singkat.

Menerusi Seruan Istito'ah, mesej yang ingin dibawa TH cukup mudah:

Jangan tunggu dapat tawaran baru nak bersedia. Sebaliknya, bersedialah sementara menunggu giliran.

Pada akhirnya, RM15,000 bukan garisan penamat persediaan haji, tetapi satu langkah penting untuk membina kemampuan sebelum tiba masanya menjadi tetamu Allah.

Intipati
  • RM15,000 dalam akaun TH bukan ukuran lengkap kemampuan atau istito'ah menunaikan haji.
  • Istito'ah merangkumi kewangan, kesihatan, fizikal, rohani dan keselamatan bakal jemaah.
  • TH menggalakkan pendeposit menyimpan awal menggunakan kalkulator, Direct Debit dan Tabung Istito'ah.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan