Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Biasanya, sesebuah drama mengambil inspirasi daripada kisah yang berlaku di dunia sebenar. Namun kali ini, idea daripada sebuah drama popular Netflix pula direalisasikan dalam kehidupan sebenar.
Drama Korea Selatan, Teach You a Lesson, yang mula ditayangkan pada bulan lalu mendapat perhatian penonton menerusi kisah sebuah badan fiksyen dikenali sebagai Biro Perlindungan Hak Pendidikan.
Dalam drama berkenaan, biro tersebut ditubuhkan bagi melindungi mangsa buli, menangani individu yang mengganggu ketenteraman sekolah serta memulihkan semula autoriti guru.
Tanpa disangka, organisasi sebenar seakan biro itu telah ditubuhkan di Gyeonggi, Korea Selatan, baru-baru ini.
Perkara itu diumumkan oleh Penguasa Pendidikan Gyeonggi, An Min-suk pada Isnin selepas menandatangani protokol pengurusan bagi penubuhan agensi perlindungan hak guru tersebut.
“Guru tidak lagi akan dibiarkan bersendirian,” katanya.
Agensi yang diketuai sendiri oleh An itu akan memantau kes-kes melibatkan pencabulan hak guru, dakwaan penderaan kanak-kanak serta aduan berniat jahat terhadap para pendidik.
Agensi berkenaan terdiri daripada dua unit utama iaitu Pasukan Perlindungan Hak Guru 119 dan Pasukan Sokongan Perundangan Bersepadu.

Segala tugas serta pengendalian kes oleh kedua-dua unit itu akan dilaporkan secara terus kepada penguasa pendidikan.
Pasukan Perlindungan Hak Guru 119 akan dianggotai kira-kira 50 pegawai khas yang bertanggungjawab melindungi hak guru.
Setiap pegawai yang dipilih menerusi proses pemilihan terbuka akan memberikan sokongan secara individu kepada guru terjejas, bermula daripada laporan awal sehingga sesuatu kes selesai.
Pasukan itu juga akan menerima dan mengendalikan aduan ibu bapa bagi pihak guru.
Sementara itu, Pasukan Sokongan Perundangan Bersepadu akan bekerjasama dengan pasukan perlindungan hak guru serta disertai peguam yang pakar dalam undang-undang pendidikan.
Peguam berkenaan akan menjalankan siasatan di lokasi, memberikan nasihat undang-undang serta membantu dalam urusan litigasi.

Bagi pasukan sokongan perundangan itu, pihak berkuasa wilayah akan merekrut pegawai pendidikan, guru yang masih berkhidmat dan telah bersara serta pakar luar menerusi permohonan terbuka selewat-lewatnya pada akhir bulan ini.
“Semua aduan akan dikendalikan dengan segera di bawah tanggungjawab agensi perlindungan hak guru dan kami juga akan terus bertanggungjawab sepanjang proses pemulihan.
“Pejabat Pendidikan Wilayah akan terus bersama guru sekiranya hak mereka dicabuli, dari awal hingga akhir, supaya mereka tidak perlu menanggung beban itu sendirian.
“Kami akan membina sistem perlindungan yang membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran tanpa tekanan daripada aduan atau tindakan undang-undang," ujar An.
An turut berjanji untuk memikul tanggungjawab sepenuhnya dan memulihkan keyakinan terhadap sistem pendidikan dalam tempoh setahun.
“Walaupun berlaku sebarang kekangan, saya bersedia memikul tanggungjawab sepenuhnya sebagai penguasa pendidikan.
“Dalam tempoh setahun, saya akan melakukan segala yang termampu untuk memulihkan hak guru dan membina semula kepercayaan orang ramai," katanya.