Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Data PADU Tidak Akan Diintegrasikan Dengan Sistem Bank – Rafizi
PUTRAJAYA, 29 Dis (Bernama) — Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang bakal dilancar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Jan 2024 tidak akan diintegrasikan dengan mana-mana sistem maklumat daripada bank, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Pada sidang media PADU di sini hari ini, beliau berkata ia susulan sistem bank yang termaktub di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 tidak membenarkan sebarang perkongsian berkaitan sistem data itu.
“Kalau berkaitan dengan bank tak ada sebab bank ada Akta Perkhidmatan Kewangan yang tidak membenarkan sebarang perkongsian sedemikian,” katanya ketika diminta mengulas sama ada data bank akan diintegrasikan dalam PADU sekali gus meredakan kegusaran orang ramai mengenai persoalan itu.
Ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi lain.
Rafizi berkata antara contoh integrasi data ialah maklumat peribadi rakyat akan diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara, maklumat pendidikan daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi manakala maklumat alamat boleh didapati daripada syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad serta operator air.
Beliau berkata PADU turut bekerjasama dengan sektor swasta bagi menggalakkan orang ramai mendaftar dan mengemas kini data mereka dalam sistem itu antaranya Touch ‘n Go yang menawarkan kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) secara percuma kepada 3,000 pendaftar terawal.
Justeru, beliau menggalakkan lebih banyak syarikat atau peruncit untuk turut serta dalam inisiatif kementeriannya supaya dapat merancakkan lagi pendaftaran orang ramai ke dalam sistem PADU.
“Kita galakkan seberapa banyak peruncit dan khidmat lain untuk turut serta… bagi membolehkan mereka mewujudkan tawaran mereka sendiri dan mengambil peluang terhadap fokus serta keterujaan mengenai PADU untuk beberapa bulan akan datang tanpa menggunakan duit kerajaan.
“Kami meramalkan akan terdapat banyak keterujaan dan juga pendaftaran orang nak masuk PADU. (Terbuka kepada) Mana-mana pihak ketiga yang ingin menggunakan ini untuk mendapatkan lebih ramai khalayak ke kedai anda atau menggunakan perkhidmatan digital dengan apa jua cara,” katanya.
“Kita buka kepada orang ramai untuk sahkan, sudah tentu kita dapatkan semua data, masuk dalam pautan data dan kebanyakan proses ni pakai Protokol Pemindahan Fail yang selamat, maknanya keseluruhan pangkalan data yang ada dalam sistem akan ada ketetapan daripada agensi terlibat untuk memastikan secara berkala data terbaru dikemas kini.
“Pada masa yang sama, orang ramai pula bila ada portal PADU dibuka, mereka boleh mengemas kini data terbabit pada bila-bila masa sahaja,” katanya sambil menambah kerajaan menggalakkan rakyat mengemas kini maklumat mereka bagi memastikan apa yang terdapat dalam PADU adalah yang terkini.
Ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mengemas kini atau membuat pengesahan maklumat, Rafizi berkata tiada tindakan akan diambil.
“… tapi kerajaan hanya akan menggunakan maklumat yang sedia ada dalam pangkalan data untuk menentukan profil isi rumah dan kelayakan dapat atau tidak subsidi bersasar berdasarkan maklumat itu… jadi kalau tak kemas kini, dia tiada masalah tapi jika anda tidak dapat (subsidi), jangan marah,” katanya.
BACA: Hilang Kerja? Anda Mungkin Layak Mohon SIP, Ada Enam Elaun
Sumber: Bernama