Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Deepavali: Fadhlina Kongsi Momen Beli-Belah Bersama Anak-Anak Pelajar

deepavali fadhlina
Kredit: Fadhlina Sidek

Beberapa hari lagi sebelum Perayaan Deepavali, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkongsi momen membeli-belah Deepavali bersama anak-anak pelajar di Brickfields.

Iklan

Menerusi muat naik di Facebook, Fadhlina menyatakan ia antara acara yang beliau tunggu setiap tahun.

“Seronok dapat menemani mereka memilih baju.

“Saya mahu mereka pulang dengan pakaian yang mereka sendiri berkenan, kemudian tidak sabar menunggu pagi Deepavali untuk memakainya.

“Sambil menemani anak-anak, saya pun sempat membeli kurti dan valayal untuk diri sendiri. Sama-sama buat persiapan Deepavali,” kongsi beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengungkap cabaran yang dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa dalam menyediakan dan mempersiapkan keperluan itu selain menguruskan perbelanjaan hakiki.

“Dalam kegembiraan ini, saya teringat juga ibu ayah yang perlu berkira-kira menguruskan belanja keluarga.

“Tentu ada hasrat hendak membelikan baju baharu untuk anak, cuma banyak lagi keperluan di rumah yang perlu didahulukan.

“Tahun ini, tradisi membeli-belah bersama anak-anak daripada keluarga yang memerlukan ini diteruskan dengan sumbangan pakaian baharu daripada Yayasan Didik Negara.

“Mudah-mudahan, kurang sedikit belanja yang perlu difikirkan oleh ibu ayah menjelang perayaan.

“Terima kasih Yayasan Didik Negara kerana bersama-sama menggembirakan anak-anak ini. Selamat menyambut Deepavali, anak-anak. Nanti bolehlah kita sama-sama bergaya dengan baju baharu,” kata beliau lagi.


Intipati
  • Fadhlina Sidek menemani anak-anak pelajar membeli pakaian Deepavali di Brickfields.
  • Beliau berkata acara itu antara tradisi tahunan yang dinantikannya setiap tahun.
  • Yayasan Didik Negara menyumbang pakaian baharu kepada pelajar daripada keluarga memerlukan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan