Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah melancarkan rover penjelajah angkasa lepas pertama mereka ke Bulan yang dibawa oleh Roket SpaceX Falcon9 dari Stesen Angkatan Cape Canaveral di Florida, US pada 11 Disember semalam.
Rover yang diberi nama ‘Rashid Rover’ tersebut dibina oleh Pusat Angkasa Mohammed bin Rashid Dubai (MBRSC) di UAE dan dihantar oleh pendarat HAKUTO-R yang direka oleh syarikat penerokaan Bulan Jepun, ispace.
Jika pendaratan tersebut berjaya dilakukan, maka HAKUTO-R akan menjadi kapal angkasa komersial pertama yang melakukan pendaratan terkawal di Bulan.
Dalam masa sama pelancaran itu diadakan sejurus sahaja misi bulan NASA’s Artemis I selesai dan ia menandakan langkah pertama dalam program penerokaan Bulan di UAE.
Sementara itu menurut laporan CNN, difahamkan misi Rashid Rover adalah untuk mengambil laluan tenaga rendah ke Bulan yang dijangka tiba sekitar April 2023.
Difahamkam rover berkenaan akan menghabiskan satu hari lunar (bersamaan dengan 15 hari di Bumi) untuk menjalankan operasi utamanya.
Pada hari kedua lunar pula, ia akan diperiksa mengenai ketahanannya dalam persekitaran waktu malam yang dikatakan sukar kerana suhu boleh mencecah serendah -183°C.
Difahamkan, rover tersebut telah dijadualkan untuk mendarat di kawah Atlas bahagian timur laut Bulan.

Dinamakan sempena nama Sheikh Rashid Al Saeed
Menurut CNN, ia dinamakan Rashid Rover adalah bersempena nama Allahyarham Sheikh Rashid Al Saeed iaitu bekas pemerintah Dubai dari tahun 1958 hingga 1990 (32 tahun).
Menyentuh kembali tentang peranannya, rover tersebut berfungsi untuk menganalisis plasma di permukaan Bumi dan menjalankan eksperimen untuk memahami tentang debu Bulan.
Hal ini kerana zarah habuk Bulan dikatakan sangat tajam sehingga boleh melekat dan menghakis pakaian angkasawan dan peralatan, selain menyebabkan masalah kepada operasi yang dijalankan.
Difahamkan, rover tersebut menggunakan sepenuhnya tenaga solar yang dilengkapi dengan empat kamera mikroskopik dan haba.

Direka bermula pada 2017 di MBRSC
Menurut CNN, Rashid Rover telah direka dan dibangunkan bermula pada 2017 dahulu di MBRSC dengan empat roda seberat 10 kilogram (kg).
Pengurus Projek Misi Lunar Emirates di MBRSC, Hamad AL Marzooqi berkata, “Pasukan melakukan kerja yang hebat dalam memulakan misi dan mereka bentuknya,”
Tidak hanya itu, MBRSC juga menggunakan misi tersebut untuk menyemarakkan ‘impian’ mereka dalam penerokaan angkasa lepas di planet Marikh pada masa akan datang.
Hal tersebut kerana mereka berharap dapat membina sebuah koloni penempatan manusia pertama di planet ‘merah’ itu menjelang 2117 nanti.
Malah, tidak dinafikan Al Marzooqi turut berharap misi permukaan Bulan tersebut akan menjadi batu loncatan untuk mereka meneruskan ‘impian’ di Marikh.
“Kami bermula dari kecil tetapi kami berharap langkah kecil ini akhirnya menjadi titik permulaan untuk mencapai sasaran kami,” tambahnya.
Selain itu, pelancaran Rashid Rover ke Bulan dijalankan semalam sejurus sahaja misi bulan NASA’s Artemis I selesai dan ia menandakan langkah pertama dalam program penerokaan bulan di UAE.
Malah, negara teluk itu telah merancang untuk menghantar beberapa kenderaan, termasuk orbiter dan rover kedua yang dirancang untuk dilancarkan pada 2025 kelak.

Sumber: CNN
